Walaupun menyedari diri serba kekurangan, tetapi tidak membataskan minat pemuda ini untuk terus mengajar mengaji, biarpun  dirinya dalam kedaaan terlantar di atas katil.

Mohammad Azfar Mohd Yusuf, 31 tahun seorang yang kurang upaya fizikal bukan sahaja mengajar seorang pelajar tetapi 42 kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun di rumahnya.

Mohamad Azfar ketika mengajar anak murid di rumahnya.

Dia yang lebih mesra dipangiil ustaz berkata walaupun sudah lebih 10 tahun mengajar al-Quran, namun proses pembelajaran dan menambah ilmu tetap diteruskan dengan memanggil guru agama ke rumah bagi memantapkan penguasaan.

“Dari kecil saya memang minat nak jadi ustaz tetapi pada masa itu saya tak pandai mengaji al-Quran cuma disebabkan minat saya dapat menjadi seorang pengajar selepas belajar daripada beberapa orang guru agama yang dipanggil ke rumah bagi sesi pembelajaran secara perseorangan.

“Dari mula mengajar 10 orang anak murid pada 2005, saya seronok kerana boleh sampaikan ilmu supaya berkembang dan masyarakat sekeliling dapat mengutip ilmu serta menambah kefahaman tentang al-Quran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria di sini.

Mohamad Azfar bersama murid lelaki yang datang ke rumah untuk mengaji al-Quran.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersyukur kerana bukan sahaja diberi kepercayaan oleh ibu-bapa yang menghantar anak-anak belajar mengaji dengannya malah dia peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat sekali gus menambah rakan dan kenalan.

“Disebabkan jumlah pelajar ramai, saya mengehadkan sesi belajar yang dibahagikan mengikut jam dan hari tertentu. Saya juga mengajar orang dewasa dari seluruh negara yang hubungi melalui panggilan telefon dan WhatsApp bagi memperbetulkan bacaan al-Quran.

“Saya berharap usaha saya ini menjadi inspirasi kepada semua selain berazam untuk meningkatkan ilmu serta pengetahuan dalam memantapkan penguasaan al-Quran,” katanya lagi kepada Sinar Harian.

Antara pelajar yang mendapatkan khidmat Mohamad Azfar sebagai guru mengaji al-Quran.