
Banyak persoalan tentang keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak perlu berpuasa. Untuk tidak menimbulkan kekeliruan, ini penjelasannya.
Soalan: Seseorang yang boleh berbuka kerana musafir, bolehkah dia teruskan makan apabila sudah sampai ke tempat yang dituju ataupun kena tahan diri sehingga waktu berbuka. Macam itu juga bagi yang sakit pada awal hari tapi sembuh sebelum waktu berbuka, bolehkah dia terus makan atau kena tunggu sehingga masuk waktu berbuka?
Jawapan:
1. Para ulama berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa. Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian.
Kata Abdullah bin Masud r.a:
مَنْ أَكَلَ أَوَّلَ النَّهَارِ فَلْيَأْكُلْ آخِرَهُ
“Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra).
Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan.
2. Namun hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah. Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.
3. Maka seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.
Sumber: Dr Maza.com
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mufti Wilayah Perjelaskan Hukum Hadir Majlis Keraian Yang Ada Unsur Maksiat

Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia. (Riwayat Muslim 1053)
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Berikut merupakan ringkasan perbincangan ulama mengenai hukum asal menghadiri majlis perkahwinan. Mazhab Hanafi dan juga satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukumnya sunat. Manakala terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat.
HUKUM MENERIMA JEMPUTAN MAJLIS YANG DIISI DENGAN PERKARA MUNGKAR
Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang dijemput ke majlis perkahwinan dalam keadaan dia mengetahui bahawa di dalam majlis tersebut terdapat perkara yang haram seperti hidangan arak sedangkan dia tidak mampu memungkirinya, maka gugur kewajipannya menghadiri majlis tersebut.
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
قَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ
Maksudnya: Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. (Surah Al-Nisa’ (140)
Berdasarkan kepada mafhum ayat di atas, perbuatan duduk di dalam sesebuah majlis yang terdapat di dalamnya pengingkaran dan penghinaan kepada ayat-ayat Allah adalah ditegah dan dilarang. Ini jelas ditunjukkan oleh frasa بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ yang datang dengan ‘La al-Naahiyah’ yang membawa hukum haram.
Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:
وفي هذه الآية، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع، من المبتدعة والفسَقة، عند خوضهم في باطلهم
Maksudnya: Ayat ini menunjukkan kepada dalalah yang jelas ke atas larangan duduk bermajlis bersama ahli kebatilan dari segenap jenis lapisan. Dari kalangan ahli bid’ah dan juga golongan yang fasiq, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. Lihat Al-Jaami’ al-Bayan, al-Thabari.
Selain itu, terdapat juga sebuah riwayat yang jelas dari Nabi S.A.W akan larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ
Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak. (Riwayat al-Haithami)
Siyaq ataupun konteks hadis di atas jelas menunjukkan kepada pengharaman duduk di majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini kerana, lafaz sebelum itu menunjukkan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia jangan meminum arak.
Larangan meminum arak tidak menunjukkan kepada kemakruhan bahkan kepada keharamannya. Justeru, larangan seterusnya ke atas perbuatan duduk di hidangan yang terdapat padanya arak juga menunjukkan kepada hukum yang sama.
FATWA BADAN-BADAN BERAUTORITI
Pertama: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh al-Allamah Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq pada tahun 1979M, beliau menyatakan berkaitan dengan majlis yang berlangsung padanya pemberian dan penerimaan dadah dengan katanya: Allah memuji hamba-hamba-Nya yang menjauhi majlis-majlis yang melalaikan lagi lagha. Maka Dia berfirman:
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Maksudnya: (Ciri orang beriman) adalah mereka yang memalingkan diri dari perkara yang lagha. Surah al-Mu’minun (3)
Dan Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar R.Anh tentang katanya:
نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.
Kata Syeikh Rahimahullah: Yang diambil faedah dari beberapa nas ini adalah keharaman bermajlis dengan mereka yang melakukan maksiat dalam apa sahaja bentuknya. Ini kerana dalam bermajlis dengan mereka akan berlaku kerosakan terhadap perkara yang Allah haramkan. Dan sesiapa yang bermajlis bersama dengan pelaku maksiat yang melakukan kemungkaran pastilah akan berakhlak dengan akhlak mereka yang buruk (mengikut peribadi mereka). Dan akan mengikut kebiasaan apa yang mereka lakukan daripada dosa seperti minum sesuatu yang memabukkan serta mengkhayalkan.
Kedua: Para ulama khilaf mengenai hukum menghadiri majlis sedemikian. Pendapat yang azhar dan sahih dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanbali adalah haram berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W melarang duduk dalam majlis yang terdapat hidangan arak. Ini kerana, pemergiannya ke majlis tersebut dalam keadaan dia mengetahui kemaksiatan di dalamnya seolah-olah dia pergi untuk tujuan mendengar atau melihat kemaksiatan.
Dalam mazhab Hanafi secara jelas menyatakan sesiapa yang dijemput menghadiri majlis perkahwinan sedangkan dia mengetahui terdapat kemaksiatan di dalamnya sebelum ia hadir, maka tidak perlu dihadiri jemputan tersebut.
Namun terdapat satu pendapat dalam mazhab Syafie kalangan ulama Iraq yang mengharuskan, dengan syarat memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya. Keharusan itu dengan alasan kehadiran mereka mungkin akan menyebabkan penganjur majlis merasa malu lalu menghentikan atau mengurangkan kemungkaran yang dilakukan dalam majlis tersebut.
Dihikayatkan bagaimana Imam al-Hasan al-Basri dan Muhammad bin Ka’ab telah dijemput menghadiri satu majlis perkahwinan. Dalam majlis tersebut mereka terdengar konsert nyanyian, lalu Muhammad bangun untuk meninggalkan majlis, namun ditarik oleh al-Hasan sambil berkata: “Duduklah, kemaksiatan mereka tidak menghalang ketaatanmu.”
KESIMPULANNYA
Hukum menghadiri majlis perkahwinan atau keraian yang terdapat di dalamnya maksiat dan kemungkaran perlulah diperincikan dari dua sudut yang berikut:
Pertama: Bagi masyarakat awam, yang mana kehadirannya ke majlis tersebut tidak memberi sebarang kesan dan perubahan kepada acara majlis, maka adalah tidak perlu untuk dia menghadirinya bahkan tidak wajib untuk hadir ke majlis itu sekiranya dia mengetahui ada maksiat di dalamnya.
Kedua: Bagi tokoh-tokoh ulama seperti para agamawan, sekiranya kehadiran mereka ke majlis tersebut akan menyebabkan pihak penganjur berasa malu dan segan serta boleh jadi memberhentikan acara maksiat atau paling tidak mengurangkannya, maka kehadiran mereka pada majlis sebegitu adalah dibolehkan.
Dalam suasana masyarakat Islam di Malaysia dan juga keadaan pihak kerajaan yang menjunjung tinggi nilai-nilai mulia dan adab yang murni, maka sebarang bentuk sambutan keraian di majlis perpisahan dan selainnya, hendaklah dielakkan sebarang unsur maksiat di dalamnya. Inilah yang sepatutnya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ramai Ragu-Ragu Boleh Atau Tak Warnakan Rambut Dengan Warna Hitam, Ini Hukumnya Patut Ambil Tahu

SOALAN:
Saya berumur 32 tahun mempunyai masalah uban yang agak kritikal. Bolehkah saya mewarnakan rambut menggunakan inai/pewarna hitam. Ada sesetengah ustaz menasihati saya mewarna rambut saya warna merah (inai) tapi saya agak malu jika warna rambut saya berwarna merah.
JAWAPAN:
Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai.
Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan.
Inilah pendapat mazhab al-Syafie. Adapun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang.
Imam Abu Yusuf daripada Hanafiyyah mengharuskan secara mutlak. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/281).
Berkata Imam al-Syaukani:
“Sebahagian Jemaah (ulama salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) Uthman (bin `Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak (Saidina) Ali, `Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.” Rujuk Nail al-Autar (2/281)
Prof. Dr Yusuf al-Qadhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 117) menyebut:
“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jiialau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini al-Zuhri (seorang Tabien) mengatakan: “Kami menginai rambut dengan warna hitam jikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya.”
Sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain.
Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan.
Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Nak Tinggal Bersama Mertua Atau Berasingan Lepas Kahwin

Apabila telah berkahwin, seeloknya tinggallah berasingan. Perkahwinan sebenarnya mengajar kita untuk hidup berdikari. Namun akan berlaku konflik apabila suami belum mampu lagi untuk menyediakan tempat tinggal buat si isteri.
SOALAN:
Saya sudah dua tahun lebih berkahwin namun suami masih gagal menyediakan tempat tinggal. Kami tinggal di rumah ibu mertua (ibu tunggal), bersama adik ipar perempuan dan suaminya. Saya sentiasa kena menutup aurat kecuali dalam bilik saya. Isunya kami cuba mencari rumah sewa tapi tak dapat. Apakah boleh kami keluar rumah untuk tinggal berasingan dari ibu?
JAWAPAN:
Apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). (Surah al-Talaq: 6)
Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
Oleh kerana ibu sudah ada anaknya yang menjaganya, maka tidak lagi menjadi masalah untuk anak yang lain keluar daripada rumah tersebut. Yang penting, sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status keisterian agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’: 19)
Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga.
Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadis daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.” Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)
Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadis Nabi SAW menyebut:
وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا
Maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.” Riwayat Ahmad (4/381) dan Ibn Majah (1853)
Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik.
Benarlah firman Allah SWT:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Surah Ali-Imran: 159)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.
Akhir kalam, sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumah tangga harmon. Elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI