Wanita Bekerja Kalau Nak Rezeki Berkat, Kena Ikut 3 Syarat Ini

Share

Islam adalah agama yang mempermudahkan, namun kemudahan yang diberikan harus memenuhi syarak. Tiada istilah tolak ansur dalam hal ini kerana Allah sangat menjaga maruah hamba-Nya.

Hal ini termasuklah membenarkan wanita bekerja bagi membantu suami menambah pendapatan keluarga. Namun bagi memastikan rezeki yang diperoleh itu berkat, dan tidak mendapat kemurkaan Allah maka Muslimah yang bekerja harus mematuhi tiga syarat yang digariskan. Kita ikuti penjelasan ustaz Azhar Idrus tentang perkara ini.

Ulamak telah menetapkan peraturan ke atas mana-mana perempuan Islam yang hendak bekerja di luar rumah yang mana diringkaskan atas tiga syarat:

Pertama : Pakaian ikut syarak

Sentiasa dengan pakaian yang mengikut syarak yang sempurna dan memakai tudung yang luas dan longgar.

Firman Allah :

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖوَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖوَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ

Ertinya : “Dan jangan kaum perempuan itu mendedahkan perhiasan mereka kecuali yang zahir sahaja dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka atas segala dada mereka dan tiada mereka mendedahkan perhiasan mereka itu melainkan bagi suami-suami mereka…” (An-Nur : 31)

Kedua : Dapat izin suami

Dengan izin suami jika perempuan yang sudah berkahwin dan izin bapa jika dia belum berkahwin.

Telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. katanya : Sungguhnya isteri Khas’am r.a. telah datang kepada Nabi saw dan bertanya :


يا رسول الله: ما حق الزوج على زوجته؟ قال: حقه عليها ألا تخرج من بيتها إلا بإذنه فإن فعلت لعنتها ملائكة السماء وملائكة الرحمة وملائكة العذاب حتى ترجع

Ertinya :

“Wahai Rasulullah! Apa hak suami yang wajib atas isteri? Sabdanya : Hak suami atas isteri itu bahawa dia tidak keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suami. Maka jika dia keluar tanpa izin suami nescaya melaknat akan dia oleh malaikat di langit dan malaikat rahmat dan malaikat azab sampai dia kembali.” (Hadith riwayat Al-Bazzar dan Abu Ya’la dan Al-Haithami)

Ketiga : Tidak bercampur dengan lelaki

Ketiadaan bercampur dengan lelaki atau bersunyi dengan lelaki.

Telah diriwayatkan dari Umar r.a. sabda Nabi SAW :


ألا لا يخلُوَنَّ رجلٌ بامرأة إلا كان ثالثهما الشيطان

Ertinya : “Tiadalah seorang itu bersunyian dengan perempuan kecuali adalah orang ketiganya ialah syaitan.”(Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi dan Nasaie)

Inilah tiga syarat utama orang perempuan yang hendak keluar dari rumah sama dengan tujuan bekerja atau lainya dan ada beberapa lagi syarat yang sebut oleh fuqahak dalam kitab-kitab mereka dan tiga syarat di atas adalah yang paling utama.

Sumber: ustaz Azhar Idrus

Published by
Team Kashoorga