
Tatkala bertemu dengan orang tua terutama kalangan saudara mara ramai yang tidak kisah bersalaman dengan mereka walau bukan mahram.
Ini kerana ada pandangan mengatakan tidak mengapa jika ia melibatkan orang tua yang sudah tidak lagi bernafsu. Tapi benarkah pandangan ini?
Bagi meleraikan kekeliruan itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman memberi penjelasan menerusi video yang disiarkan di akaun TikTok miliknya.
Jelas beliau, para ulama berselisih pandangan tentang hukum lelaki bersalaman dengan wanita yang sangat tua.
Ini kerana katanya, ada ulama yang mengharuskan kita berbuat demikian iaitu Mazhab Hanafi dan Maliki serta terdapat juga pandangan yang melarang.
“Bagi Mazhab Syafie dan Maliki, (kedua-duanya) mengatakan haram (berbuat demikian) kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyentuh perempuan walaupun yang tua,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikannya baru-baru ini.
Daripada Aisyah RA, beliau berkata: “Tidak, demi ALLAH. Tangan Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun menyentuh tangan wanita ketika berbai’ah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Elakkan perbuatan haram
Mengulas lanjut, PU Salman menjelaskan, Nabi Muhammad SAW hanya berbai’ah dengan ucapan dan perkataan.
Tambahan pula terdapat hadis lain yang mana Baginda SAW bersabda: “Ketahuilah jika kepada seseorang lelaki ditusuk besi tajam, maka itu lebih baik buat dirinya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani dan Al-Baihaqi)

“Inilah pendapat yang paling kuat yang mana haram bersalaman atau menyentuh walaupun wanita itu sangat tua dan tidak bernafsu lagi, menurut Mazhab Maliki dan Syafie.
“Justeru, elakkanlah dan jauhkan (diri) daripada perbuatan yang haram ini,” katanya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Solat Witir, Cara Niat Untuk 2 Rakaat Pertama

Isi Kandungan
ToggleSolat witir adalah solat sunat yang disunatkan berjemaah pada bulan Ramadan, namun pada bulan lain ia tidak disunatkan berjemaah.
Ia boleh dilakukan cukup dengan satu rakaat, tetapi lebih sempurna untuk dilakukan sebanyak tiga rakaat, lima rakaat, tujuh rakaat, sembilan rakaat atau sebelas rakaat.
Di samping itu, ia juga boleh dilakukan secara bersambung semua rakaat dengan satu salam atau dipisahkan setiap dua rakaat dengan salam dan diakhiri dengan satu rakaat.
Cara niat solat witir
Akan tetapi timbul persoalan tentang niat solat witir. Ada yang mengatakan bahawa niat solat yakni “Sahaja aku sembahyang witir dua raakat’ adalah tidak sah.
Ini kerana makna witir itu adalah ganjil namun dalam niat tersebut ia tersebut dalam bilangan sebaliknya.
Persoalan tentang niat solat witir ini telah diperjelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus, ujarnya perkara ini memang ada dibincangkan oleh ulama.
“Niat solat witir iaitu ‘Sahaja aku sembahyang witir dua rakaat kerana Allah Taala” memang ada dibahaskan oleh ulamak. Ini kerana solat witir adalah 3 rakaat tapi kita berniat 2 rakaat. Solat witir adalah ganjil tapi dalam niat ini tidak,” katanya.
Jelas beliau dalam hal ini sebaiknya kita keluar daripada perselisihan atau pertikaian ni.
“Oleh itu jika mahu mengerjakan witir 3 rakaat dan kita mahu melakukan solat dua rakaat terlebih dahulu maka berniatlah dengan tiga cara berikut;
- “Sahaja aku solat 2 rakaat daripada witir.”
- “Sahaja aku solat mukadimah witir 2 rakaat.”
- “Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat.”
“Niatlah dengan salah satu daripada tiga cara di atas adalah yang sebaiknya,” terang beliau.
Niat yang lebih afdal
Dalam pada itu menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bahawa cara niat yang pertama seperti di atas adalah pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, manakala cara yang kedua, ketiga adalah pandangan yang tidak muktamad.
Oleh itu, cara pertama ialah cara yang lebih afdal kerana ia muktamad mazhab, namun tiada halangan untuk beramal dengan cara-cara yang lain.
Hal ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi selepas menerangkan cara-cara niat tersebut, beliau berkata:
وهذه الأوجه في الأفضل والأولوية دون الاشتراط والصحيح الأول
Maksudnya: Dan pendapat-pendapat (yang telah disebutkan) ini adalah daripada segi yang mana paling baik dan paling utama bukanlah disyaratkan, dan pendapat yang tepat adalah yang pertama (iaitu berniat dua rakaat daripada witir).
Oleh yang demikian, dibolehkan untuk berniat mengikut mana-mana cara yang telah disebut di atas.

Bahkan jika seseorang itu berniat “sahaja aku solat witir 2 rakaat”, maka solatnya juga sah seperti yang disebutkan oleh Sheikh al-Qalyubi, beliau berkata:
وَلَهُ فِيهِ أَنْ يَنْوِيَ سُنَّةَ الْوَتْرِ أَوْ مُقَدِّمَةَ الْوَتْرِ أَوْ مِنْ الْوَتْرِ أَوْ الْوَتْرَ أَيْضًا[8]
Maksudnya: “Dan dibolehkan (pada dua rakaat solat witir itu) untuk berniat sebagai sunat witir atau daripada witir atau witir juga.”
Cara-cara berniat di atas juga terpakai untuk setiap 2 rakaat sebelum rakaat terakhir bagi yang melakukan solat witir lebih daripada 3 rakaat iaitu 5 hingga 11 rakaat.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca Lagi: Subuh Masuk Lewat Sekarang, Ambillah Peluang Buat Solat Tahajud
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Membaca Zodiak Harus Tapi Jatuh Syirik Kalau Mempercayainya

Di media sosial, sering terlintas keperibadian seseorang melalui zodiak kelahirannya. Antara sengaja atau tak, sebagai manusia yang masih tercari-cari ilmu, tanpa sedar kita mungkin mempercayai ramai bintang ini. Hati-hati dengan pemikiran sebegini kerana membaca zodiak hukumnya harus walau tak digalakkan tapi mempercayainya, hukumnya syirik.
Baca pandangan Mufti Wilayah mengenai aplikasi zodiak yang mudah dimuat turun hari ini.
Jawapan:-
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, zodiak adalah garisan melengkung khayalan di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas. Salah satu cabang ilmu astrologi adalah berkaitan dengan zodiak (bintang 12).
Zodiak merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan ini merupakan satu garisan melengkung khayalan (imaginary line). Dalam proses itu matahari dipercayai melalui 12 bahagian dan setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas (Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces).
Setiap bintang ini mempunyai kekuatan dan kelemahan, sifat-sifat yang tersendiri yang mempengaruhi kehidupan dan seseorang individu. Dengan melihat kepada kedudukan planet, kedudukan matahari dan bulan pada waktu kelahiran, karakter seseorang dapat diketahui dengan terperinci.
Hikmah Kewujudan Bintang
Firman Allah SWT:-
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ لِتَهْتَدُوا بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ
Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.”
(Surah al-An’am: 97)
Firman Allah SWT:-
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.”
(Surah al-Mulk: 5)
Firman Allah SWT:-
وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ
Maksudnya: “serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya…”
(Surah al-A’raf: 54)
Berkata Qatadah: Allah SWT menciptakan bintang-bintang ini dengan tiga fungsi:
- Hiasan bagi langit-langit
- Alat-alat pelempar syaitan
- Panduan atau penunjuk arah
Barangsiapa yang mentakwilkannya kepada selain daripada 3 fungsi di atas, maka itu adalah pendapatnya sendiri yang keliru serta memberatkan dirinya terhadap apa yang dia tidak tahu. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/166)
Hukum Hakam Berkaitan Ilmu Astrologi
Daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda:-
مَنِ اقْتَبَسَ عِلْمًا مِنَ النُّجُومِ، اقْتَبَسَ شُعْبَةً مِنَ السِّحْرِ، زَادَ مَا زَادَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambl bagian dari ilmu bintang maka ia telah mengambil bagian dari ilmu sihir.”
(Riwayat Abu Daud, no. 3905)
Menurut Ibn Ruslan, apa yang dilarang adalah berhubung ilmu berkenaan alam semesta yang tidak berlaku atau bakal berlaku di masa hadapan. Mereka mendakwa memperolehnya pengetahuan tentangnya daripada rahsia bintang-bintang pada peredarannya, perhimpunannya dan perpisahannya. Hal ini berkait rapat dengan ilmu yang menjadi hak milik-Nya.
Ada pun ilmu bintang-bintang yang dengannya dikenali gelinciran matahari dan arah kiblat, berapa hari yang telah berlalu, berapa pula baki yang tinggal, tidak termasuk dalam larangan di atas. Apa yang dilarang adalah perbincangan tentang kedatangan hujan, turunnya salji, bertiupnya angin (ini tidak berkaitan dengan ramalan cuaca) dan berubahnya harga barang. (Lihat Nail al-Autar, 7/152)
- Membaca zodiak
Hukum sekadar membaca tanpa mempercayainya adalah harus. Pun begitu, ianya tidak digalakkan kecuali atas keperluan, misalnya kajian.
- Mempercayai zodiak
Hukum mempercayainya adalah syirik. Perbuatan syirik kepada Allah SWT antara dosa-dosa besar yang Allah SWT memberikan ancaman azab kepada pelakunya. Allah SWT berfirman:-
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”,(Surah al-Nisa: 48)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86). Pun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka.
Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:
- Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
- Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
- Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
- Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
- Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
- Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah. (Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, m. 50-55).
Dalam hal ini, kami cenderung menyatakan Muslim yang mempercayai zodiak termasuk dalam syirik asbab kerana mereka umumnya mempercayai ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk. Maka, mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa.
- Bertemu dengan peramal
Diriwayatkan oleh Safiyyah R.Anha, daripada para isteri Nabi SAW, bahawa Baginda pernah bersabda:-
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima salatnya selama empat puluh malam”.
(Riwayat Muslim, no. 125)
Pada riwayat yang lain Baginda SAW bersabda,
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (Al Qur’an)”.(Riwayat Ahmad, no. 9536).

Ibnul Athir menjelaskan bahawa ‘arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah SWT yang mengetahui persoalan ghaib. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 3/442) Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).
Al-Baghawi pula menerangkan: ‘Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan semisalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang memberitahu akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati/membaca fikiran). (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/182)
Kedua-dua hadith ini terkandung ancaman Nabi SAW terhadap dua jenis manusia. Pertama, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun dengan niat hanya untuk bertanya. Kedua, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun untuk bertanya lalu mempercayainya. Masing-masing berada dalam keadaan yang berbeza dan baginda Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang akibatnya yang juga berbeza.
Dalam konteks moden, hal ini mungkin hampir tidak berlaku lagi. Namun, ianya boleh diqiyaskan dengan memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib. Mereka yang sengaja memuat turun atau melanggan dengan niat untuk mengetahui nasib ini dikhuatiri menyamai maksud hadith “mendatangi ´arraf” yang sudah pasti tidak diterima solatnya selama 40 malam.
Menurut Imam al-Nawawi, “Maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang dia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/227). Ini bermakna, solatnya adalah sia-sia.
Bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib dan mempercayainya, hal ini secara jelasnya adalah haram dan berdosa besar.
Manakala, bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.
Kesimpulan
Tiada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib, melainkan Allah ‘Azza wa Jalla. Firman-Nya di dalam al-Qur’an al-Azim:
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah, hanya miliknya bilakah berlakunya kiamat, dan Dia Mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim. Tiada seorangpun yang tahu apa yang dia akan lakukan pada hari esok, dan tiada seorangpun tahu di mana dia akan menemui kematian.
(Surah Luqman: 34)
Firman Allah SWT lagi:-
قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: Katakanlah, tidak ada satupun di langit dan dibumi yang mengetahui hal ghaib, kecuali Allah.
(Surah al-Naml: 65)
Jelas daripada dalil-dalil di atas, bahawa kepercayaan berhubung astrologi, mengetahui sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa dan dilarang di sisi Islam. Kami lampirkan di sini beberapa keadaan dan hukumnya:
- Meyakini zodiak boleh menentukan nasib baik dan buruk seseorang boleh membawa kepada kekufuran.
- Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dengan tujuan hobi atau sekadar suka-suka, dikira fasik dan berdosa besar.
- Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dan meyakininya tetapi masih beriman bahawa ianya berlaku dengan daya yang dijadikan oleh Allah SWT, ia adalah diharamkan. Mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa besar kerana melibatkan syirik.
- Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata (khusus bagi tujuan penyelidikan) tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Berdasarkan Hadith Nabi Dalam Bab Jodoh, Mana Perlu Diutamakan. Pilih Janda Atau Anak Dara?

Anak dara atau janda? Setiap orang punya pandangan tersendiri mengenai pilihan jodoh ini. Namun menurut Islam, siapa perlu diutamakan, antara anak dara atau janda. Berikut adalah perkongsian dari Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin.
Soalan: Dr, saya seorang janda muda yang berusia 26 tahun. Baru-baru ini saya telah bercinta dengan seorang pemuda di tempat kerja saya yang berusia 25 tahun. Kami bercadang untuk berkahwin. Namun keluarganya menghalang atas alasan saya seorang janda. Mereka menggunakan alasan agama kononnya agama tidak menyukai seseorang berkahwin dengan janda. Benarkah demikian pendirian Islam terhadap golongan janda seperti saya?
Jawapan: Saudari yang dimuliakan!
1. Islam tidak pernah memandang hina kepada golongan janda. Bahkan RasululLah s.a.w isteri-isteri baginda hampir kesemuanya janda. Poligami yang dianjurkan oleh Islam juga antara kebaikannya membantu golongan janda yang kehilangan suami.
2. Namun begitu dari segi keutamaan, jika di hadapan seseorang lelaki ada pilihan antara seorang janda dan anak dara yang kedua-dua sama baik dari semua sudut, melainkan yang seorang anak dara dan seorang lagi janda, maka diutamakan anak dara. Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menggalakkan berkahwin dengan anak dara.
Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan Ibn Majah dengan sanadnya yang hasan:
عَلَيْكُمْ بِالْأَبْكَارِ، فَإِنَّهُنَّ أَعْذَبُ أَفْوَاهًا، وَأَنْتَقُ أَرْحَامًا، وَأَرْضَى بِالْيَسِيرِ
“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”. (al-Albani menilai sebagai hasan dalam al-Silsilah al-Sahihah)
Maksud hadis di atas ialah oleh kerana anak dara belum pernah bergaul dengan lelaki, maka biasanya sifat kasar mereka itu kurang. Peluang memperolehi anak lebih luas disebabkan biasanya mereka lebih muda atau tidak terdedah kepada masalah kelahiran sebelumnya yang mungkin menghalang mereka untuk terus melahirkan anak. Juga mereka lebih redha dengan yang sedikit di sudut pemberian lelaki, atau kehebatan hubungan seks. Ini kerana mereka belum ada pengalaman untuk dibuat perbandingan. Faktor ini boleh menyebabkan rumahtangga lebih bahagia dan mesra. Hadis ini mengkhabarkan hakikat yang sebenar.
3. Namun begitu, ada keadaan tertentu, mungkin janda lebih baik daripada anak dara. Ini seperti apabila janda tersebut lebih kuat pegangan agamanya. Ini akan menyebabkan segala ciri-ciri baik yang membawa kebahagiaan rumah tangga ada padanya. Maka janda boleh menyaingi anak dara dengan kekuatan agamanya.
4. Juga ada kalanya janda lebih baik berdasarkan kepada hajat lelaki yang inginkan janda untuk kebaikan tertentu. Seperti dia ingin wanita yang lebih matang, atau janda berkenaan lebih dapat menjaga anak-anaknya disebabkan faktor-faktor tertentu. Oleh itu dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:
هَلَكَ أَبِي وَتَرَكَ سَبْعَ بَنَاتٍ أَوْ تِسْعَ بَنَاتٍ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً ثَيِّبًا، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَزَوَّجْتَ يَا جَابِرُ» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَقَالَ: «بِكْرًا أَمْ ثَيِّبًا؟» قُلْتُ: بَلْ ثَيِّبًا، قَالَ: «فَهَلَّا جَارِيَةً تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ، وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ» قَالَ: فَقُلْتُ لَهُ: إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ هَلَكَ، وَتَرَكَ بَنَاتٍ، وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَجِيئَهُنَّ بِمِثْلِهِنَّ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً تَقُومُ عَلَيْهِنَّ وَتُصْلِحُهُنَّ، فَقَالَ: «بَارَكَ اللَّهُ لَكَ» أَوْ قَالَ: «خَيْرًا»

Kata Jabir: Ayahku mati, meninggalkan tujuh atau sembilan anak perempuan (periwayat kurang pasti). Aku mengahwini seorang wanita janda. RasululLah S.A.W telah bertanya kepadaku: “Engkau telah kahwin wahai Jabir ?” . Jawabku : Ya !. Baginda bertanya : “Anak dara atau janda?”. Jawabku : “Janda”. Sabda baginda: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa”. Aku kata kepada baginda: “Sesungguhnya `Abd Allah telah mati dan meninggalkan anak perempuan. Aku tidak suka aku mendatangkan kepada mereka orang yang seperti mereka, maka aku pun kahwin dengan seorang wanita yang dapat mengatur dan menguruskan mereka” Baginda bersabda : “Semoga Allah memberkatimu” atau baginda menyebut sesuatu yang baik .
5. Hadis Jabir itu dan hadis sebelumnya menggambarkan tujuan galakan Nabi s.a.w untuk memilih anak dara adalah demi kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga. Namun jika seseorang ada alasannya yang tersendiri, di mana pemilihan janda itu membawa kebaikan tertentu kepadanya, maka itu adalah haknya. Dengan itu Nabi s.a.w tidak membantah setelah Jabir r.a. memberikan alasannya. Bahkan baginda mendoakan untuk Jabir kebaikan.
6. Begitu juga seseorang wajar mengahwini janda untuk memberikan pertolongan kepadanya, seperti janda yang kehilangan suami sedangkan dia tanpa tempat bergantung. Ini terutama bagi janda yang berasal daripada keluarga bukan Islam atau negara yang jauh. Jika perkahwinan itu mempunyai hasrat menyelamatkan agamanya, itu adalah kebaikan. Ini kerana baginda Nabi s.a.w juga mengahwini ramai janda demi menolong mereka.
7. Apa yang penting, kita perlu tahu bahawa Islam tidak membenci dan memandang lekeh kepada golongan janda. Cumanya, hadis-hadis itu bercakap dalam bentuk perbandingan umum. Jika janda itu seorang yang beragama dan berakhlak mulia melebihi anak dara yang ada dalam pilihan seseorang lelaki, atau yang dicadangkan kepadanya, maka memilih janda adalah lebih baik.
Ini kerana seseorang memilih apa yang sesuai dan baik untuk dirinya. Jika dia ada pilihan yang kedua-duanya baik untuknya, maka ketika itu anak dara mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ini kerana anak dara dari sudut yang lain mungkin lebih menghargai kerana tiada pengalaman sebelumnya. Demikian akan lebih manja dan cinta tanpa perbandingan kerana itulah satu-satu suami yang pernah dia rasai. Sumber : Jabatan Mufti Negeri Perlis
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI