Wanita kena elak post gambar, video tak menutup aurat. ‘Walaupun dalam private group, bimbang tersebar nanti sudahnya mengundang fitnah.
Tidak dinafikan ada wanita terbuka berkongsi gambar tidak menutup aurat seperti tak bertudung dalam group private dengan harapan tiada siapa yang akan sebarkan.
Kita tak tahu hati manusia kan, kadang-kadang bila berlaku perkara tak terduga dalam hubungan, akhirnya gambar atau video tersebut dijadikan modal.
Artikel Berkaitan
Ikuti penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini,
Soalan
Bolehkah kalau post gambar tak tutup aurat dengan sempurna macam tak pakai tudung dalam kalangan ‘close friend’ perempuan dekat Instagram? Saya lihat ada kenalan yang buat macam tu. Mohon pandangan dan terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Perbuatan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna di media sosial adalah perkara yang bercanggah dengan hukum dan adab sebagai seorang yang beragama Islam.
Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.
Justeru itu, bagi mengelakkan segala kemudaratan dan maksiat, menjadi satu kewajipan untuk memuat naik yang menutup aurat dengan sempurna serta tidak melanggar adab, etika dan kesopanan seorang muslim.
Huraian Jawapan
Dengan kemunculan dan pembaharuan pelbagai sistem tetapan dan ciri yang menarik di media sosial, pengguna media sosial ini perlu mengamalkan adab dan etika serta sentiasa mengawal diri daripada melakukan perkara yang membawa kesan negatif kepada diri, agama dan negara.
Bagi menjawab persoalan di atas, hukum menghantar atau memuat naik gambar gambar dengan keadaan tidak menutup aurat adalah perkara yang dilarang dalam syarak sama ada perbuatan ini dilakukan oleh lelaki mahupun wanita.
Setiap muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi. Allah SWT berfirman:
قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
Surah al-Nur (30-31)
Justeru itu, membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain.
Walaupun gambar atau video yang dimuat naik telah dihadkan tontonannya kepada hanya yang mahram atau dalam kalangan sejantina, namun masih terdapat kemungkinan gambar itu tersebar sehingga menjadi tontonan ajnabi.
Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada fitnah, setiap orang perlu menapis setiap gambar dan perbuatan yang akan dipertontonkan kepada orang ramai. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُبَاشِرُ المَرْأَةُ المَرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا
Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.
Riwayat al-Bukhari
Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu.
Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram. (Rujuk Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani, 9/338)
Oleh yang demikian, memuat naik gambar atau video yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewajarnya dielakkan. Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.
Baca Di Sini
‘Biar Macam Makcik, Asal Aurat Terjaga.’ Mia Ahmad Kuatkan Hati, Berpakaian Kerana Allah
Bala Sosial Media, Posting Tidak Tutup Aurat Kekal Sebagai Tontonan”-Ustaz Don
Kashoorga : Oleh itu sebaiknya sebelum post gambar atau video, fikir dulu sebelum menyesal di masa depan.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!