Wanita Kongsi Pengalaman Nikah Sepupu Sendiri. Walau Kenal Dari Kecil, Hanya Pernah Jumpa Sekali Sebelum Diijab Kabul

Share

Sejak dulu lagi, kita sering mendengar orang tua melarang pernikahan dengan sepupu sendiri. Alasannya kalau berkahwin nanti anak dilahirkan cacat serta banyak lagi alasan diberikan khususnya bab zuriat.

Satu perkongsian di Tik Tok, @dinanur2397 berkongsi dirinya berkahwin dengan sepupu sendiri di mana ayahnya dan ibu mentuanya adalah adik beradik. Dirinya kini berada dalam fasa bahagia dan menyulam cinta dengan izin Allah selepas diijabkabulkan baru-baru ini.

Tulisnya, “suamiku sepupuku” membuktikan cinta selepas berkahwin amat bahagia dan pasangan ini mengharapkan kehadiran cahayamata secepat mungkin.

Menariknya walau ada ikatan sepupu, namun mereka amat jarang bertemu kerana masing-masing merantau jauh menuntut ilmu bahkan suaminya juga lulusan dari Universiti Al Azhar, Mesir.

Jelas Dina yang kini berusia 24 tahun, jarak usianya dan suami berbeza enam tahun. Kebanyakan keluarga besar mereka merantau keluar dari kampung untuk menimba ilmu agama di seluruh tempat sebaik habis sekolah rendah.

Dirinya sendiri belajar hingga ke Bogor Jawa Barat dan menetap di sana selama tujuh tahun dan suami berkelana di bumi Mesir selama 11 tahun.

“Walau sepupu, pertemuan pertama kami berlangsung pada tahun 2017 dan pertemuan kedua pada 2021 di saat pernikahan kami berlangsung,” katanya memaklumkan baru lapan bulan mendirikan rumahtangga.

Di saat ramai tertanya-tanya bolehkah menikahi sepupu sendiri di dalam hukum islam perkahwinan dengan keluarga terdekat seperti sepupu dan seumpamanya adalah antara perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT. Di dalam firman Allah SWT yang menerangkan wanita-wanita yang diharamkan berkahwin dalam ayat 24 surah al-Nisa’ yang membawa maksud:

“Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu…” Juga firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 50 yang bermaksud: “…dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu…”

Published by
almaswa Haji Che Ros