Solat tarawih di masjid atau di lebih baik di rumah sahaja? Dalam suasana Ramadan kala ini, kita dapat melihat ramai wanita menunaikan solat tarawih di masjid bagi merebut pahala selain gandaan 27 kali pahala solat berjemaah.
Namun mana lebih afdal, wanita solat di rumah atau masjid? Ikuti pandangan dari Ustazah Nur Fatin Halil, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengenainya.
Bulan Ramadan ini, persoalan yang timbul dari kalangan wanita berkaitan hukum-hakam khususnya yang berkaitan ibadah. Antaranya adalah persoalan berkaitan dengan amalan manakah yang lebih baik, sama ada seorang wanita itu solat tarawih berjemaah di masjid atau solat bersendirian di rumah?
Sememangnya solat seorang wanita Muslimah itu lebih afdal dan lebh baik di rumahnya. Rasulullah telah bersabda:
Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya”.
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi SAW dan berkata: Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku”
Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sampai bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan semakin jauh dari percampuran dengan lelaki, maka tempat tersebut adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat.
Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna suatu larangan untuk wanita pergi ke masjid. Bahkan terdapat hadis lain yang melarang para lelaki daripada menghalang isteri-isteri mereka keluar ke masjid. Rasulullah SAW bersabda daripada Ibnu Umar RA:
Ads
Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita pergi ke masjid-Nya” (Muttafaq Alaih)
Dan hadis ini terdapat sambungannya yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
“…dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka”
Tempat yang terbaik bagi wanita adalah di rumah namun dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang wanita untuk ke masjid. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat garis panduan atau syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita Muslimah untuk keluar menghadiri solat tarawih di masjid. Antaranya adalah:
1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.
Ads
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada paraperempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah An-Nur: 31)
2. Tidak memakai wangi-wangian
“Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
3. Mendapat keizinan suami
4. Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat
Ads
Ummu Salamah RA menceritakan:para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah sementara Rasulullah dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut. (Riwayat Bukhari).
Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi dan kehadiran seseorang wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, maka dibolehkan untuk mereka ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebihlagi di bulan Ramadan ini.
Dalam situasi tertentu, adalah digalakkan untuk wanita itu ke masjid sekiranya solat di masjid itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding apabila seseorang itu solat bersendirian di rumah. Selain itu, apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diperoleh jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama. Perlu dipastikan juga agar ketiadaannya di rumah kerana pergi ke masjid tidak memberi kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
Betapa indahnya Islam apabila agama ini tidak memberatkan wanita untuk ke masjid kerana solatnya di rumah sudah cukup untuk mendapatkan ganjaran. Bagi wanita yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya solat di rumah lebih memberi keselesaan. Wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan para suami untuk ke masjid. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Riwayat Muslim)
Dalam masa yang sama, tiada larangan untuk wanita ke masjid namun syarat-syarat yang telah ditetapkan perlulah dipatuhi. Hakikatnya, solat tarawih adalah amalan sunat yang boleh dilakukan di mana sahaja dan tidak semestinya dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita.
Selamat merebut ganjaran kebaikan di bulan pesta ibadah ini.
Wallahua’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Solat merupakan salah satu Rukun Islam yang perlu setiap orang Islam lakukan dengan solat fardu 5 kali setiap hari. Ia wajib dilakukan tanpa gagal kecuali bagi mereka yang dalam keuzuran seperti mana yang dibenarkan syarak.
Sering kali kita dengar bahawa solat itu adalah tiang agama. Dengan solat kehidupan seharian kita akan lebih aman, teratur dan diberkati oleh Allah SWT.
Setiap umat Islam pasti mengharapkan agar ibadah yang dilakukan diterima sebaiknya oleh Allah SWT untuk mencari keredaan-Nya.
Walaupun kadangkala ibadah sudah dilakukan namun berapa pastikah anda bahawa ia diterima oleh ALLAH SWT?
Terdapat banyak sebab mengapa solat itu tidak diterima, antaranya tidak sempurna rukun dan pergerakan dalam solatnya.
Tapi bagaimana kita nak tahu solat yang dilakukan selama ini diterima atau tidak?
KASHOORGA tertarik dengan perkongsian dilakukan oleh pendakwah Ustaz Mohd Fahmi Rusli. Beliau menjelaskan antara tanda ibadah berkenaan diterima apabila solat berkenaan mampu menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar.
Jelas beliau lagi, ALLAH SWT menyifatkan solat sebagai benteng yang menjadi penghalang kita daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai-NYA.
Ini kerana, dalam menyifatkan solat Allah S.W.T menyatakan :
Maksudnya : Sesungguhnya solat menghalang kita dari melakukan perkara keji dan mungkar.
Surah Al-Ankabūt (45)
Manakala meninggalkan perkara keji dan mungkar adalah termasuk dalam ketakwaan.
Demikian Allah S.W.T menyatakan :
إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Ustaz Mohd Fahmi menambah, ALLAH SWT turut menyatakan perihal amalan orang yang bertakwa menerusi kalam-NYA.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27)
“Maka, gabungan dua ayat ini menatijahkan kenyataan: ‘Antara tanda solat kita diterima adalah saat ia menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar’ di atas,” katanya.
Di dalam kitab al-Targhib wa Tarhib, Zakiyuddin al-Mundziri ada menjelaskan tentang sebuah hadis qudsi berkaitan tanda-tanda yang mengisyaratkan solat seorang hamba diterima oleh-NYA.
Antaranya adalah:
1. ALLAH SWT menerima solat seseorang yang tawaduk ketika menunaikan ibadah itu di hadapan kebesaran-NYA. Sifat tawaduk itulah akan memunculkan kekhusyukan dalam solat seseorang berkenaan.
2. Orang yang tidak menyombongkan diri.
3. Orang yang tidak terus-menerus berada dalam kemaksiatan.
4. Orang yang menggunakan waktu siang untuk terus mengingati ALLAH SWT dan merasakan ALLAH selalu berada dekat dalam hidupnya. Bahkan, dirinya selalu merasakan ALLAH sentiasa memerhati setiap inci gerak-gerinya.
5. Mereka yang cintakan kepada fakir miskin, ibnu sabil (orang yang bermusafir) dan mengambil berat mereka yang ditimpa musibah.
Ramai golongan bukan berilmu cuba “memandai” menyampaikan ilmu walau bukan dalam bidang mereka sehingga menjadi isu kontroversi di seluruh negara. Ada baiknya kita menurut apa “kepakaran” yang ada tanpa mencampurkan adukkan antara bisnes dan agama kerana tidak mahu tersalah percakapan mampu membawa kepada kesyirikan.
Dalam pada itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang baru dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024 memperjelaskan maksud Al-Khaliq di mana Allah bukan makhluk dalam perkongsianya di e-book Maktabah Al Bakri mengenai isu ini berdasarkan soalan ditanya kepada dirinya.
Soalan Tular di media sosial beberapa hari ini bahawa terdapat individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus. Mohon ulasan daripada Datuk.
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan persoalan ini dengan firman Allah SWT:
Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”[1] Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang lain kerana Allah adalah satu-satunya tempat bergantung yang tidak ada tandingan bagi-Nya”.[2]
Imam al-Syaukani berkata: “ Sesiapa yang memahami dan merenungi ayat mulia ini dengan sebenar-benarnya pasti dia akan melalui di atas jalan yang putih dan jelas di persimpangan perselisihan manusia dalam masalah sifat-sifat Allah. Lebih baik lagi apabila direnungi makna firman Allah: “Dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat”. Hal ini kerana penetapan ini setelah menafikan sesuatu yang serupa mengandungi keyakinan yang mantap dan menjadikan penawar bagi hati. Wahai pencari kebenaran, peganglah pada hujjah yang jelas dan kuat ini, pasti engkau dapat membenteras pelbagai jenis kebid’ahan.[3]
Syeikh Ahmad bin Mustafa Al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya : “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[4]
Syeikh al-Sya’rawi pula menyebutkan: Sesungguhnya semua sifat-sifat Allah datang dengan contoh untuk memberikan makna yang hampir sahaja, tetapi bukan dengan tujuan untuk memberikan hakikat makna tersebut, kerana Allah SWT tidak ada sesuatu pun yang sama sepertinya.[5]
Huruf kaf di dalam ayat “لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ” adalah mengukuhkan penghujahan, menyucikan dan menafikan persamaan-Nya dengan mana-mana makhluk dengan penafian yang sempurna. Dalam kaedah Bahasa Arab, kaf di dalam satu-satu perkataan boleh membawa maksud sebagai pengukuh (li al-tawkid) atau persamaan (li al-tashbih) Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang berbeza dengan dirinya, contohnya jika dikatakan “Engkau umpama bulan (أنت كالبدر)” maka ia adalah bentuk persamaan. Engkau (manusia) dan bulan adalah dua benda yang berbeza. Maka, kaf di sini berperanan untuk memberi makna “Engkau umpama bulan dari sudut keindahannya.”
Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang sama dengan dirinya, contohnya seperti ayat al-Qur’an di atas, maka ia adalah satu bentuk pengukuhan. Ka dan mithl pada ayat tersebut adalah perkataan sinonim dan ini berperanan memberi penguat kepada ayat tersebut. Sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad Jabir Jubran, jikalau dikatakan لَيْسَ مِثْلِهِ شَيْءٌ (tanpa kaf), ia membawa makna penafian penyerupaan yang setara (al-mithl al-mukafi’).[6]
Berdasarkan persoalan di atas, kenyataan yang dinyatakan oleh individu tersebut amatlah berat dan boleh menjejaskan akidahnya serta menjebakkan dirinya ke lembah kesyirikan, apatah lagi sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja. Sedangkan perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT.
Maksudnya:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”[7]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya.[8]
Walaupun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka. Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat[9] membahagikan syirik kepada enam jenis:
Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah.
Allah sebagai al-Khaliq
Al-Khaliq berasal dari perkataan khalaqa (خَلَقَ), yang bermaksud mengukur, mencipta, membentuk atau memperhalus. Al-Khaliq juga merupakan kata nama fa’il (فَاعِل) kepada perkataan khalaqa (خَلَقَ) yang menjadikannya kata seimbangnya khaliq (خَالِق) yang membawa maksud “menciptakan sesuatu yang baru”, “menciptakan daripada tidak ada”, “menciptakan tanpa satu contoh terlebih dahulu” atau “menciptakan sesuatu yang baru daripada sesuatu yang telah ada.”
Menurut al-Qamus al-Muhit, “Al-Khaliq” merupakan sifat bagi Allah SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu tanpa ada contoh daripada yang sebelum ini, serta yang menjadikan sesuatu daripada tiada”[10]
Menyatakan Tuhan itu makhluk yang dicipta atau adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:
ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺧَﺎﻟِﻖُ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ۖ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰٰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻭَﻛِﻴﻞٌ Maksudnya: “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”[11]
Firman Allah SWT lagi: هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Maksudnya:“Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.[12]
Sekiranya individu yang menyebut kenyataan bahawa “tuhan itu makhluk halus” dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT merupakan الخَالِقُ (Maha Pencipta) yang menciptakan segala yang ada di alam ini. Manakala semua selain Allah adalah makhluk مَخْلُوقyang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”.
Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim. Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain. Manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya. Oleh sebab itu, jin mampu masuk ke badan manusia tanpa dapat dirasai dan mereka masuk ke dalam manusia dan menusukkan sifat was-was dalam hati manusia. Kedua-dua jisim ini sama ada kathif ataupun latif tidak akan sama dengan sesuatupun daripada sifat Allah. Bahkan Allah sebagai al-Khaliq ini lah yang menciptakan jisim kathif dan latif.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau yang melibatkan kesucian Allah SWT, hendaklah berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusan ini.
Namun sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT.
Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.[13]
Begitu juga terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ Maksudnya:Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.[14] Saya menutup dengan sama-sama kita berdoa dan beristighfar:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” Wallahua`lam. Bertarikh 16 Disember 2021 M bersamaan 12 Jamadil Awwal 1443 H [1] Surah al-Syura: 11 [2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/194 [3] LihatFath al-Qadir, 4/528. [4] Lihat Tafsir al-Maraghi, 25/15 [5] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 9/595 [6] Lihat Ta’liqat al-Sunniah ‘ala Matn al-Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 11 [7] Surah al-Nisa: 48 [8] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86 [9] Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, hlm. 50-55 [10] Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 380 [11] Surah al-Zumar: 62 [12] Surah al-Hasyr: 24 [13] Riwayat Ibn Majah (2043) [14] Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Iblis berjanji akan menyesatkan anak Nabi Adam dari segala segenap sudut sehingga ke hari kiamat. Ini dilakukan atas dasar kesombongan dirinya selepas enggan sujud pada Nabi Adam as yang diciptakan daripada tanah manakala kata Iblis dirinya lebih mulia kerana dijadikan dari api.
Benarkah berdasarkan surah Al Baqarah ayat 34 menunjukkan bahawa Iblis itu asalnya adalah malaikat? Atau iblis hanya sekadar jin? Mufti Wilayah Persekutuan mengupas pertanyaan ini adakah benar iblis berasal dari Malaikat?
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Ia menolak dan menyombongkan diri, dan ia termasuk golongan yang kafir.
JAWAPAN
“Maka sujudlah mereka, kecuali iblis”, lantas mereka semua sujud, kecuali iblis. Ulama menyebur, pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat:
Iaitu termasuk dari jenis yang sama, berdasarkan pendapat ini, iblis termasuk di kalangan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas’ud dalam satu riwayat dan Ibn Abbas, kecuali ianya ditukar rupa oleh Allah menjadi syaitan.
Ia bukan jenis malaikat tetapi jenis jin. Inilah pendapat hasan al-Basri dan al-Zuhri.
Justeru, jadilah pengecualian sebagai pengecualian yang putus. Kami menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat al-Quran yang lain, di dalam surah al-Kahfi, ayat 50:
Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin salain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu. (Surah al-Kahfi: 50)
Perkataan iblis seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi mempunyai dua pendapat:
Ia adalah isim a’jam (bukan nama bahasa arab) yang tiada musytaq dengan sebab itulah ia tidak ditasrif Inilah pendapat Abu Ubaidah, al-Zajjaj dan juga Ibn al-Anbari.
Ia musytaq daripada perkataan iblas iaitu putus asa, inilah yang diriwayatkan daripada Abi Soleh dan telah disebut oleh Ibn Qutaibah.
Tarjih Saya lebih cenderung kepada pendapat bahawa ia daripada kalangan jin dan bukan dari kalangan malaikat kerana nas Ilahi yang juga sebab kejadian:
Malaikat dijadikan daripada nur yakni cahaya.
Iblis atau jin diciptakan daripada nar yakni api.
Justeru, iblis bukan sebahagian daripada malaikat, makanya istisna’ atau pengecualian iblis daripada malaikat termasuk daripada istisna’ munqati’ yakni terputus dan bukan daripada jenis yang sama. Wallahu ‘alam..
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Fesyen seluar singkat, sampai nampak betis tapi di bahagian atas elok bertudung.Tak dinafikan ramai Muslimah hari ini yang selesa memilih mengenakan seluar. Namun menjadi...