Isi Kandungan
ToggleSesungguhnya Tuhan itu Yang Maha Berkuasa dan menentukan segala-galanya untuk hambaNa.
Ada yang dilahirkan cukup fizikalnya, dan ada juga yang sedikit kekurangan. Jangan sesekali kita menolak qadak qadar yang telah ditakdirkan kepada kita.
Apa jua kejadian kita baik sempurna atau tidak, bukan jadi halangan untuk kita terus bernafas di muka bumi ini dan mensyukuri apa yang telah ditakdirkan kerana
apa yang dicipta olehNya semua indah dan cantik.
Begitu juga dengan perkongsian seorang gadis Hikmah Razlan di laman sosial twitter yang mempunyai penglihatan sebelah mata sejak dilahirkan.
Biarpun keadaan dirinya begitu tetapi gadis ini tetap berasa bangga kerana dapat menempuh hidup dengan baik dan tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai halangan untuk terus melangkah maju ke hadapan.
Dia yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka Pahang mendapat sokongan teman-teman serta warganet yang berharap agar dia dapat menerima keadaan dirinya dengan penuh keyakinan.
Malah mereka berkata kekurangan dialami bukan jadi alasan untuk terus menjadi makhluk Allah dengan penuh rasa gembira dan ceria.
Menurut warganet juga Allah itu menilai diri kita bukan dari paras rupa sebaliknya keistimewaan kita dan paling penting terus bertawadduk sebagai hambaNya.
Doakan Allah beri hadiah yang tak ternilai nanti
Your smile babe, cantiklah
You look beautiful & ignore negative vibes
Semoga 2020 membawa sinar lebih berkilau
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Adakah Benar Perempuan Tua Tidak Wajib Memakai Tudung?
Isi Kandungan
ToggleAda dakwaan mengatakan perempuan tua sudah tak wajib bertudung atau menutup aurat rambutnya. Dalam Islam jika sesuatu yang baik itu sepatutnya diteruskan walaupun ada hukum memberi kelonggaran terhadap pelaksanaannya.
Namun, untuk kepastian, kita baca penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan bersangkutan aurat seorang nenek.
PENCERAHAN
Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain.
Wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, di antaranya ialah:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita”
Surah an-Nur: 31
Istilah jenis pakaian wanita dari segi bahasa dan syara’ :
Al-Khimar (الخِمَار)
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa al-khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala atau kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung.
Al-Jilbab (الجِلْبَاب )
Al-Jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas.
Asas kepada perbincangan dalam masalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ ۖ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka; dan perbuatan mereka dengan menjaga kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luar mereka) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Surah an-Nur: 60
Makna al-Qawa’id (الْقَوَاعِد)
al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) berasal daripada perkataan al-qa’id (القاعد) yang membawa maksud orang yang duduk. Ibn Qutaibah Rahimahullah telah berkata: “Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut”.
Para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) dalam ayat ke-60 surah an-Nur kepada tiga pendapat:
- Wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi. Ini adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu termasuklah Sa’id bin Jubair, Qatadah dan ad-Dhahhak
- Wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang telah berusia. Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yan melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam makna ayat ini.
- Wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi.
Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah melemahkan pendapat yang ketiga kerana wanita yang sudah tidak mampu mengandung masih lagi berkemungkinan bagi lelaki untuk bersenang-senang dengannya.
Oleh itu, wanita tua yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada perempuan tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Artikel berkaitan: Bala Sosial Media, Posting Tidak Tutup Aurat Kekal Sebagai Tontonan -Ustaz Don
Artikel berkaitan: Betapa Allah Jaga Aib Wanita, Rambut Yang Dipotong Tetap Dianggap Aurat
Makna Thiyab (ثِيَاب)
Ulama’ berbeza pendapat mengenai makna sebenar perkataan thiyab (ثِيَاب) dalam ayat ke-60 surah an-Nur:
فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ
Maksudnya: “Maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka”
Pendapat Pertama: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab yang dipakainya. Ini adalah pendapat majoriti ahli tafsir di kalangan para Sahabat dan generasi awal di kalangan ahli tafsir.
Pendapat kedua: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-khimar atau tudung dan al-jilbab. Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab dan khimar (tudung) yang dipakainya. Ini adalah pendapat ibn Umar RA, ‘Ikrimah, Sulaiman bin Yasar dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam Rahimahumullah.
Kesimpulan
Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dan tepat dalam masalah perempuan tua perlu bertudung atau tidak adalah wajib ke atasnya untuk memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita-wanita lain berdasarkan dali-dalil daripada al-Qur’an dan hadis Nabi SAW.
Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata:
“Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumnya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya.
Mengenai ayat ke-60 dalam surah an-Nur, tafsiran yang tepat mengikut pendapat majoriti ulama’ adalah ia ditujukan kepada wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Sungguh benar bagai dikata, keadaan zaman ini, perempuan berumur masih mampu mengekalkan kecantikan dan nampak seperti lebih muda daripada usianya yang sebena. Kecanggihan teknologi dan barangan kosmetik yang digunakan, serta cara pemakaian mereka adalah faktor mereka masih mampu menarik perhatian lelaki.
Marilah kita mencontohi akhlak para muslimah yang hidup di zaman salaf. Mereka sangat menjaga kehormatan diri dan memilih untuk menjaga kesucian mereka dengan cara yang terbaik walaupun dibolehkan membuka tudung.
Ini sebagaimana kisah Hafsah binti Sirin Rahimahallah yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Sunan al-Kubra:
‘Asim al-Ahwal telah berkata, “Kami pernah masuk ke rumah Hafsah binti Sirin (yang telah berusia pada ketika itu), lalu dia segera menutupi dirinya dengan jilbab. Kami pun berkata kepadanya, “Semoga Allah merahmatimu, bukankah Allah SWT telah berfirman (surah an-Nur: 60) “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian (jilbab) mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka.”
Maka Hafsah pun berkata kepada kami, “Apakah sambungan daripada ayat tersebut?” Lalu kami membaca, “Dan menjaga kesucian diri mereka (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka.” Hafsah pun berkata: ‘Ia bermakna tetaplah dengan pemakaian jilbab (kerana itu lebih baik).’
al-Sunan al-Kubra (13534)
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Elak Panggil Saya-Awak, I-You, Gantilah Dengan Panggilan Yang Lebih Lunak
Panggilan kepada pasangan juga memainkan peranan. Menurut saudari Farhana Muhammad , dia tertarik dengan salah satu daripada kuliah Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa berkaitan dengan nada suara isteri kepada suami. Ustazah menceritakan bahawa beliau pernah ditegur oleh suaminya berkenaan nada suara, bukannya pemilihan kata ketika bertutur dengan suami.
Kadang ustazah tidak perasan jika ustazah tertinggikan suara kepada ustaz. Mungkin ada ketikanya tidak bersetuju dengan ustaz, mengeluarkan pendapat, mungkin ada nada suara yang sedikit tinggi ketika berbicara dengan ustaz. Kata ustaz, ibunya bukanlah seorang yang belajar tinggi. Bukanlah seorang ustazah, tiada master dan phd jauh sama sekali.
Seingat suami ustazah, ibunya tidak pernah sekali mengangkat suara di depan ayahnya. Kata ustazah, ustazah terasa amat malu mendengar kata-kata ustaz dan lebih berhati-hati apabila berbicara dengan suami. Ustazah terbayang bagaimana ibu mertuanya menyantuni ayah mertuanya. Dengan manis tutur katanya, lemah-lembut bicaranya apabila berbicara dengan suami.
JANGAN TINGGI SUARA PADA SUAMI
Jadi, adakah langsung tidak boleh marah sama suami? Tidak. Jika langsung tidak marah itu malaikat namanya. Kata ustazah, ada juga ketikanya marah, tetapi berhati-hati supaya suara ustazah tidak tinggi daripada suara suaminya. Itu baharu berkaitan dengan nada, berkaitan dengan intonasi. Nada dan intonasi ketika bercakap dengan suami amatlah penting. Itu belum lagi termasuk dengan pemilihan kata ketika berbicara dengan suami.
Cuba muhasabah diri, sepanjang perkahwinan bagaimana kita bercakap dengan suami? Pernahkah kita terjerit kepada suami dari tingkat atas ke tingkat bawah? “Awak kalau nak makan bang, makanlah sudah ada di bawah tudung saji!” Kata si isteri sambil menjerit kepada suami di tingkat bawah.
Ada orang, suka sangat bercakap dengan tinggi nada suara. Apabila ditegur lantas menjawab, “Saya bukannya marah, memang macam ni keturunan saya cakap begini.” Kata ustazah, janganlah menyalahkan keturunan apabila kita bercakap dengan nada yang tinggi. Kita boleh berubah.
Takkan kita mahu gunakan alasan seperti ini, “Nak buat macam mana, memang adik-beradik saya bercakap begini, macam nak berkelahi.” Takkan kita mahu bersandar pada hujah ini sedangkan kita ada potensi untuk memperbaiki diri kita? Apabila bercakap dengan suami, kena ada satu intonasi suara apabila berbicara dengan suami.
INTONASI LEMBUT
Intonasi yang lembut bicaranya. Sepertimana sabda Rasulullah shallahu alaihi wasallam, ‘Apabila kamu pandang isteri kamu, bergaul dengan isteri kamu, bermuamalah dengan isteri kamu, dia akan membahagiakan kamu.’ Penampilan diri, suara, tutur kata, perilaku, bahasa tubuh, akhlak, cara berfikir.
Semua ini datang dalam satu pakej menenangkan suami iaitu isteri solehah. Sambung ustazah lagi, pada awalnya beliau cukup stress memikirkan bagaimana lagi perlu bercakap lembut dengan suami? Tetapi ustazah berfikir secara positif. ‘Ya Allah, sampai begini sekali Engkau mendidik aku istiqamah supaya kelembutan menjadi sikapku.’
Allah memberikan sesuatu kepada orang yang lembut, sesuatu yang Allah tidak berikan kepada orang yang bersikap kasar. Ada sesuatu Allah hanya berikan kepada orang yang bersikap lembut. Salah satu cara bersifat santun ialah, memanggil orang dengan gelaran yang dia gemar, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita.
PANGGILAN YANG MENYENANGKAN
Jika bercakap dengan suami, perlu ada panggilan yang menyenangkan. Begitu juga panggilan buat isteri, suami perlulah memanggil dengan panggilan yang menyenangkan hati si isteri. Ustazah meyakini bahawa panggilan kepada pasangan dalam rumah tangga amatlah penting dan memberi kesan yang besar. Kerana.. semakin lama sesebuah perkahwinan, semakin sukar untuk menyuburkan kasih sayang.
Elakkan panggilan saya-awak, I-you dan gantikanlah dengan panggilan yang lebih lunak dan mesra didengar oleh suami kepada isteri ataupun oleh isteri kepada suami. Maka, panggillah pasangan dengan panggilan yang menyenangkan. Dan bertuturlah dengan pasangan dengan tona suara yang sedap didengar oleh pasangan.
Sumber kredit: memorikini.com
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Rugi Tinggalkan Solat Sunat Qabliyah & Ba’diyah, Dua Rakaat Allah Janjikan Kita Rumah Di Syurga
Ramai mendirikan solat fardu tapi mungkin tidak ramai mendirikan solat sunat sebelum mengerjakan solat fardu berkenaan.
Jika belum terbiasa melakukannya, apa kata Ramadan ini cuba-cuba untuk melaksanakan solat sunat ini kerana fadilatnya amat besar. Lagi pun ia tidak mengambil masa yang panjang. Cuma beberapa minit sahaja sebelum kita menunaikan solat fardu.
Solat rawatib sebelum solat fardu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib setelah solat fardu pula dikenali sebagai solat ba’diyah.
Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca. (Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414)
Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan).
Ada pun tentang jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, telah tsabit hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:-
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. (Sahih Muslim (728).
Ada mengatakan 10 sahaja berdasarkan hadis sahih Al-Bukhari.
Melalui riwayat Ibnu ‘Umar R.A pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata:-
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.
Sahih al-Bukhari (1180
Paling afdal, buatlah 10 sahaja iaitu solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah:-
1. Dua rakaat sebelum Subuh
2. Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
3. Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
4. Dua rakaat selepas Maghrib
5. Dua rakaat selepas solat Isya’ (Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 284 dan Matla’ al-Badrain, 1/132)
SOLAT RAWATIB GHAIRU MU’AKKAD
Solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad pula ialah:-
1. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
2. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
3. Empat rakaat sebelum Asar
4. Dua rakaat sebelum Maghrib
5. Dua rakaat sebelum Isya (Rujuk Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 285 dan Matla’ al-Badrain, 1/132-133)
Niat solat sunat ini cukup mudah iaitu :-
أُصَلِّي سُنَّةَ (الصُبْحِ / الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلهِ تَعَالَى
Bacaan niat solat rawatib dalam rumi:-
Usolli sunnatal subhi/ Zuhri/ ‘Asri/ Maghribi/ Isha i rak’ataini qabliatan/ba’diatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat (subuh / zohor / asar / maghrib / isyak) dua rakaat (sebelum / selepas) kerana Allah taala.
Sebagai contoh waktu Zuhur:-
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal zuhri rak’ataini Qabliyatan lillahi taala
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat sebelum Zuhur dua rakaat kerana Allah Taala“
Ini pula dibaca selepas solat Zuhur.
Niatnya adalah:-
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnataz zuhri rak’ataini ba’diatan lillahi taala.
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala.
Boleh baca apa saja surah seperti surah lazim kerana tiada pengkhususan surah mengenainya. Insya Allah, moga Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dari tahun-tahun sebelumnya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI