Kita hidup di muka bumi Allah ini dengan berbeza-beza agama dan juga bangsa. Namun tidak menjadi kesalahan jika bangsa lain membantu kala memerlukan. Malah sebagai hambaNya, kita digalakkan tolong menolong antara satu sama lain.
Perkongsian gadis ini Siti Nur Hanini Kamaruddin, 19 tahun, di laman twitter bagaimana dia yang juga seorang siswi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang diduga Allah menghadapi ujian yang bertimpa-timpa setelah baru dua minggu memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam Selangor.
Siapa sangka dia yang menggunakan akaun nama @niniekamarudinn yang keseorangan Jumaat lalu kerana rakan-rakan lain sibuk dan ada yang balik ke rumah masing-masing kerana cuti hujung minggu yang panjang.
Ditakdirkan dia yang berasal dari Hulu Perak ini telah kehilangan duit dan menyebabkan kekurangan wang untuk membayar tambang balik ke asrama setelah keluar membeli barang.
Namun Allah telah hadirkan insan baik untuk menolongnya walaupun Uncle yang membawa teksi berkenaan (balik ke asrama) berlainan bangsa dan agama.
Dalam artikel di Harian Metro, Siti Nur Hanini bersyukur dipertemukan dengan Uncle ketika dalam kesusahan dan berharap akan dapat membalas jasanya satu hari nanti.