Menjaga nasab keturunan antara yang ditekankan dalam maqasid syariah. Ia juga berkait rapat dengan pembinaan institusi keluarga dan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya lagi, peranan ibu dan bapa itu sangat penting untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai aspek terutamanya, akhlak dan sahsiah.

“Pembinaan institusi keluarga sentiasa mendapat tempat utama dalam Islam. Untuk membina sebuah masyarakat, semua pihak sama ada suami, isteri, pemimpin, dan lain-lain mempunyai peranan masing-masing untuk mencapai matlamat tersebut.

“Ia dijelaskan dalam satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan ditanya tentang yang dipimpin. Pemimpin negara adalah pemimpin dan ia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya.

“Seorang wanita adalah pemimpin bagi anggota keluarga suaminya serta anak-anaknya, dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang budak adalah pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan ditanya tentang harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan ditanya tentang yang dipimpin.” (HR. Bukhari 893 dan Muslim 1829),” katanya ketika berucap pada Anugerah keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) baru-baru ini.

Ads

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Ahmad Zahid berkata, kerangka ajaran Islam begitu mementingkan kehalalan dalam sesebuah perkahwinan. Bahkan, Islam juga menentang idea-idea Barat yang semakin rancak dipromosikan seperti perkahwinan sesama jenis yang sangat bertentangan dengan fitrah manusia.

“Kepentingan amalan beragama tidak hanya terdapat dalam agama Islam sahaja. Agama-agama lain juga menitik-beratkan aspek yang sama. Ini amat jelas dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 apabila responden yang terdiri daripada pelbagai agama, bersetuju mengenai peranan agama dalam kesejahteraan hidup.

“Sehubungan itu, YADIM perlu melipat-gandakan usaha mempromosi cara hidup berkeluarga berasaskan agama, yang sekaligus dapat menangkis sebarang idea songsang yang bertujuan memporak-perandakan manusia,”katanya.

Ads

Dalam majlis yang sama, Jamil Khir turut menyampaikan empat anugerah kepada pemenang iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Bapa Mithali, Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan.

Pasangan suami isteri, Razali Awang, 72, dan Esah Abdullah, 70, dari Kuala Terengganu diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali sekali gus menerima wang tunai RM50,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Ads

Sementara Anugerah Bapa Mithali dan Ibu Mithali, menjadi milik Yusuf Mohd Karim, 72, dari Muar, Johor dan Hitam binti Abu, 83 tahun dari Melaka. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Manakala Nurul Eeman Mansor, 20, yang juga penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pewaris Harapan. Menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Sumber: Sinar Islam

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI