Daripada DIA kita datang dan KepadaNya juga kita pergi. Pelakon dan pelawak terkenal, Zaibo disahkan meninggal dunia jam 1.30 tengah hari tadi di kampung halaman isterinya di Rengit, Batu Pahat. Menurut Siti Hawa Sawal, 52, allahyarham suaminya menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya serta beberapa anak yang turut menemani beliau.
“Dia baru selesai mandi masa tu dan tiba-tiba batuk. Tapi, dia sempat takbir tiga kali sebelum rebah,” katanya.
Sebelum ini Zaibo dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh akibat kanser esofagus (esophageal cancer). Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, mengakui tidak menyangka menghidap penyakit tersebut kerana sebelum ini hanya mempunyai masalah darah tinggi dan kolesterol.
Sementara Jumaat lalu, Siti Hawa mengakui keadaan suaminya itu semakin pulih dan memerlukan rehat yang cukup selain meminta orang ramai untuk terus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Zaibo. Namun Allah lebih menyayanginya. Zaibo pergi jua menemui penciptanya.
Al-Fatihah.
Sumber kredit: Sinar Harian