
Zakat fitrah untuk anak remaja yang masih bersekolah tapi sudah ada pendapatan sendiri perlu dibayar oleh bapa atau ditunaikan sendiri oleh anak?
Ramai remaja hari ini sudah ada pendapatan sendiri yang mungkin diperoleh dari perniagaan online yang dilakukan, kerja sambilan sebagainya. Ada kalanya pendapatan yang diperoleh sama banyak dengan gaji bapa mereka.
Memberi penjelasan tentang perkara ini menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perlu difahami kewajipan untuk membayar zakat fitrah tidak meletakkan syarat seseorang itu mestilah seorang dewasa. Syarat wajib zakat fitrah hanya tiga iaitu;
- Islam
- Waktu (Malam hari raya dan siangnya)
- Mempunyai kemampuan
Perlu ditunaikan sendiri oleh anak
Ini bermakna, seorang kanak-kanak yang mencukupi syarat-syarat wajib tersebut diwajibkan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat tersebut. Sekiranya anak tersebut telah mempunyai kemampuan untuk bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri maka bapa tidak boleh membayar zakat fitrah untuknya melainkan mendapat keizinan daripada anaknya.
Keadaan ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib:
أَمَّا مَنْ لَا تَجِبُ عَلَيْهِ نَفَقَتُهُ فَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ
Maksudnya: Bagi sesiapa yang tidak diwajibkan nafkah ke atasnya maka tidak wajib zakat fitrah untuk anaknya itu. (Rujuk Asna al-Matalib 388/1)
Oleh kerana itu, seorang kanak-kanak yang mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri termasuk juga dalam perbincangan yang dinyatakan.
Bapa kena terangkan tanggungjawab
Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya itu kerana telah terputus tanggungjawab memberi nafkah kepada anak tersebut disebabkan dia sudah mampu untuk menjana sumber pendapatan sendiri.

Dalam hal ini bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya tentang kewajipan yang perlu ditunaikannya.
Namun begitu, seorang bapa boleh membayarkan zakat fitrah bagi pihak anaknya atas dasar belas ihsan dengan syarat telah mendapat keizinan daripadanya anaknya tersebut.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca Lagi: Jangan Memandai Bayar Zakat Fitrah Untuk Ibu Bapa, Hukumnya Tidak Sah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI