Ziana Zain tidak terfikir hendak kahwin lain. ‘Cuma tak mahu cakap besar, soal jodoh adalah ketentuan Yang Esa.’ Namun jika ditanya, selebriti ini lebih selesa meneruskan hidup solo di samping anak-anak.
Di masa depan, jika sebaliknya berlaku dia reda kerana soal jodoh ini adalah di luar bidang kuasa manusia. Mungkin kita rasa tidak mahu, tapi Ketentuan Allah melebihi segala-galanya kerana Dia Maha Mengetahui.
Artikel Berkaitan:
Keruntuhan rumah tangga yang dilaluinya pada 12 Julai 2018 selepas 20 tahun hidup bersama dengan bekas suami cukup membuatkan pelakon dan penyanyi popular, Ziana Zain, 55, reda.
Malah, selepas lima tahun menggalas status ibu tunggal empat anak, Ziana akui dia lebih selesa menjalani kehidupan solo dan tidak terfikir langsung untuk berumah tangga lagi.
Namun begitu, Ziana nyata profesional dan tidak melenting ketika ditanya ‘jodoh baharu’ memandangkan dirinya yang kurus serta persis ‘anak dara’ itu.
“Saya sudah agak akan ditanya soal jodoh. Tapi, entah kerana sejujurnya saya seronok menjalani kehidupan solo ini. Lagipun hidup saya sudah lengkap bersama anak-anak.
“Setakat ini, memang saya tak terfikir pun nak kahwin lagi. Cuma tak mahu cakap besar sebab urusan jodoh ini ketentuan Yang Esa. Saya tidak tahu apa yang Allah sudah aturkan untuk saya ke depannya.
“Namun, saya amat bersyukur dengan kehidupan sekarang ini apabila hendak ke mana pun, keluar jam berapa dan bersama siapa, tidak perlu memikirkan ‘suami’ di rumah. Ikut suka hati,” katanya.
Di samping itu, jelas Ziana, dia hanya perlu memberitahu ibu bapanya yang tinggal bersama supaya mereka tidak risau. Manakala anak-anak pula sudah besar dan sangat memahami.
“Apa yang pasti, semua anak saya gembira dan kami selalu berkongsi cerita bersama. Jadi, hubungan dengan anak-anak sangat rapat walaupun masing-masing sudah besar dan remaja,” katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Armin Zaharin, mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 23; Muhammad Ammar, 21; serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 14.
Cerita Ziana, hingga ke saat ini, hubungan anak-anak bersama bapa mereka adalah baik-baik saja dan masih saling menghubungi serta berjumpa apabila ada kelapangan masa.
“Saya juga selalu bertanya dan mengingatkan supaya menghubungi bapa mereka untuk bertanya khabar. Apa yang berlaku antara kami dalam perhubungan, tidak ada kena-mengena dengan anak-anak.
“Jadi, anak-anak saya tetap wajib menghormati bapa mereka. Saya pun ada ibu bapa dan berdosa besar kalau putuskan hubungan bapa dengan anak. Biar semuanya berjalan baik,” katanya.
Dalam masa yang sama, sebagai ibu, dia juga tidak mahu anaknya bersikap derhaka terhadap bapa mereka. Katanya, hormat-menghormati dan kasih sayang anak terhadap bapanya wajar berterusan sampai bila-bila.
“Saya tak mahu anak-anak derhaka pada bapa mereka. Jadi, selama ini saya tidak pernah halang pertemuan anak dengan bekas suami,” katanya yang dikenali dengan lagu Madah Berhelah dan Anggapanmu.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain pernah dinobatkan gelaran Voice of Asia di Kazakhstan pada 1995 turut popular dengan lagu seperti Terlerai Kasih, Setia Ku Di Sini, Puncak Kasih, Putus Terpaksa dan Kemelut Di Muara Kasih.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Kadang-kadang ujian yang berlaku dalam hidup membuatkan kita lebih matang untuk meneruskan kehidupan.
Sumber: myMetro, Instagram Ziana Zain
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.