![Untitled design - 2024-06-26T153106.871](https://cdn.kashoorga.com/2024/06/Untitled-design-2024-06-26T153106.871-696x364.jpg)
Mati itu pasti dan pemergian ini pasti akan ditangisi oleh ahli keluarga. Namun seakan sudah sebati dengan adat dalam masa kesedihan insan tersayang, ahli keluarga si mati turut perlu pula bertungkus lumus menyediakan hidangan untuk yang datang menziarah.
Sedangkan dalam Islam tiada pun termaktub untuk melakukan perkara sedemikian malah kita digesa untuk membantu memudahkan keluarga si mati. Perkara ini disentuh dalam satu perkongsian Muhammad Shafiq Ibrahim yang boleh kita jadikan pengajaran.
Hidupkan sunnah yang sudah dilupakan
Petang ini hadir ziarah kematian seorang saudara kami yang telah meninggal dunia pagi tadi.
Saat tiba, kelihatan 30 bungkus nasi kukus yang dibawa oleh kenalan keluarga si mati untuk makan tengahari. Untuk sesi awal pagi, saudaranya yang lain juga telah bawa 30 bungkus nasi kerabu sebagai makan pagi untuk ahli keluarga si mati.
Sebelum pulang mereka memaklumkan akan ada saudara mereka yang lain akan bawa makanan untuk diberikan kepada keluarga ahli keluarga si mati yang datang ziarah pada waktu malam.
Sesungguhnya keluarga mereka ini telah menghidupkan satu sunnah yang semakin dilupakan oleh masyarakat pada hari ini. Memberi makan kepada ahli keluarga si mati.
Sebagaimana sabda Nabi yang telah direkodkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Ja’far beliau berkata apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib), Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka.”
Sememangnya tindakan mereka ini betul-betul membantu pasangan tuan rumah yang kelihatan tersangat penat. Cakap pun dah mamai kerana tak cukup rehat dari waktu sebelum Subuh lagi. Apatah lagi nak sediakan makanan kepada yang hadir ziarah. Memang tak sempat nak layan semua kenalan dan saudara mara yang hadir.
Semestinya tindakan ini juga menyenangkan keluarga si mati apabila sunnah ini dihidupkan oleh ketiga-tiga orang bersaudara yang menyediakan makanan ini. Semoga amalan sunnah dan warid daripada Nabi ini akan semakin subur dalam masyarakat kita.
Sumber: Muhammad Shafiq Ibrahim
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tiga Sebab Inilah Jadi Punca Kenapa Doa Kita Tak Dimakbulkan Oleh Allah
![](https://cdn.kashoorga.com/2019/09/untitled-design8-10_50_255852.jpg)
“Sedihnya…dah lama aku berdoa tapi permintaan aku tak pernah dimakbulkan. Apalah dosa aku sampai doa-doa aku ditolak.” Seringkali keluhan ini bermain-main di benak andai hajat tidak kesampaian. Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60).
Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)
Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT.
Antara beberapa sebab mengapa doa ditolak dan tidak dimakbulkan:
1. BUKAN DENGAN SEPENUH HATI DAN TIDAK YAKIN
Apabila berdoa, kita hendaklah bersangka baik bahawa permintaan akan diterima. Ketahuilah bahawa apabila adanya perasaan was-was atau terbitnya perasaan tidak yakin yang Allah akan memakbulkan doa maka menyebabkan doa ditolak.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Hendaklah kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan yakin akan perkenan doanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t tidak memperkenankan doa orang-orang yang berhati lalai dan alpa.”
Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT.
Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.”
Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”
2. TIDAK MENUNAIKAN HAK DAN TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH
Bagaimanalah Allah nak makbulkan doa kalau solat pun masih tunggang-langgang. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. Oleh itu pastikan kita sebagai hambaNYA menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya kepada Allah. Jaga ‘perilaku’ kita dengan Allah.
3. INGIN SEGERA DIMAKBULKAN DOA
Ibarat meminta sesuatu daripada orang lain, janganlah sampai memaksa. Ketahuilah bahawa seseorang yang memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT tidak boleh meminta atau berharap doanya dikabulkan dengan segera. Ia seolah-olah memaksa Allah mengikut kehendaknya. Cara yang demikian akan menjadikan seseorang itu cepat putus asa apabila doanya atau permintaannya tidak dikabulkan oleh Allah. Sesungguhnya mereka yang berputus asa akan terputus daripada rahmat Allah. Apabila tiada rahmat Allah maka ia akan menyebabkan doanya tiada dimakbulkan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan janganlah kau berputus asa daripada mengharap rahmat Allah s.w.t kerana sesungguhnya tiadalah yang putus asa dari rahmat Allah s.w.t kecuali orang-orang kafir”. (Surah Yusuf, 87)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
12 Perkara Isteri Wajib Tahu Tentang Harta Jika Suami Meninggal Dunia
![](https://cdn.kashoorga.com/2024/03/Untitled-design-2024-03-21T142719.312.jpg)
Ada banyak kisah isteri yang terpaksa hidup dalam kesempitan setelah kematian suami kerana tidak faham tentang hak mereka tentang harta yang ditinggal. Ada juga kalangan wanita ini sanggup melepaskan harta kerana tidak mahu berkonflik dengan keluarga arwah suami.
Sedangkan Islam telah memberi panduan yang jelas tentang perihal harta selepas berlakunya satu satu kematian. Dikongsi oleh Majlis Agama Islam Selangor berikut adalah 12 perkara isteri wajib tahu tentang harta bila berlaku kematian suami.
1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.
2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.
3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.
4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.
5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.
6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.
7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.
8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.
9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.
10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.
11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak
diwarisi oleh isteri.
12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam Keadaan Tertentu, Solat Perlu Dilakukan Secara Duduk Atau Pun Bersandar, Persoalannya, Sahkah Solat?
![](https://cdn.kashoorga.com/2018/06/timthumb-1.jpg)
Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.
Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.
Riwayat Muslim (16)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.
Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi
Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.
Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).
Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.
Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).
Pendapat Para Fuqaha
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran.
Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.
Riwayat al-Bukhari (2774)
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk
Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:
*Tidak mampu untuk berdiri
*Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
*Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
*Seseorang yang berasa pening kepala.
*Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
*Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
*Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
*Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.
Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).
Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).
Dibolehuga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.
Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi
Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:
Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud.
Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi.
Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.
Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.
Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.
Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.
Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan: “Dan jikalau lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk seperti mana yang dia ingini.” Ertinya, seseorang yang solat duduk dalam apa kaedah duduk pun maka solatnya sah dan tidak batal. Yang berbeza hanyalah dari segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara iftirasy itu lebih afdal berbanding duduk bersila menurut pendapat yang azhar dan dimakruhkan duduk al-Iq`a’. Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi (Hlm. 45).
Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, kami berpandangan apabila dikatakan yang kita boleh solat duduk dalam apa keadaan sekalipun maka ia termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.
Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat
Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/243).
Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu. Rujuk al-Iqna’, al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 184).
Sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.
Beberapa Cadangan Atau Dhawabit
Berikut eberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:
*Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
*Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
*Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
*Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
*Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan قلة التكاليف (sedikit taklif) serta عدم الحرج (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.
Surah Al-Baqarah (185)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.
Surah Al-Hajj (78)
Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas ini, beliau menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir seperti Ibn Abbas, A’isyah, Abu al-‘Aliyah, serta Al-Hasan bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah: Tidak Allah jadikan kesempitan dalam beragama kepada umat Muhammad S.A.W. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/690).
Maka solat secara duduk di atas kerusi hukumnya adalah sah. Demikian juga solat duduk yang dilakukan secara bersandar, maka hukumnya sah seperti yang kami jelaskan di atas. Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan.
Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI