Zikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah SWT yang boleh dilakukan sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati.
Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan al-Quran dan seumpamanya.
Ibadah ini pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Quran banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT.
Namun sebagai manusia yang lemah ada kala ketika berzikir pun kita terlalai. Teringat hal dunia hingga lupa bacaan dan sebagainya.
Zikir tapi hati lalai, adakah beroleh pahala
Dalam hal ini apakah status zikir mereka yang melakukannya dalam keadaan ini. Adakah diterima dan beroleh pahala atau sebaliknya?
Menjelaskan akan perkara ini, menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, berzikir dalam keadaan lalai lebih baik daripada tidak berzikir langsung.
Dalam penjelasan, beliau memetik kata-kata Syeikh Ibn Ataillah al-Iskandari Rahimahullah
لا تَتْرُكِ الذِّكْرَ لِعَدَمِ حُضورِكَ مَعَ اللهِ فيهِ، لِأَنَّ غَفْلَتَكَ عَنْ وُجودِ ذِكْرهِ أَشَدُّ مِنْ غَفْلتِكَ في وُجودِ ذِكْرِهِ. فَعَسَى أَنْ يَرْفَعَكَ مِنْ ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ غَفْلةٍ إلى ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ غَيْبَةٍ عَمّا سِوَى المَذْكورِ، {وَمَا ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ بِعَزِيزٍ}
Maksudnya: “Jangan kamu meninggalkan zikir, (menyebut atau mengingat Allah) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berat atau berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir.
Mudah-mudahan Allah SWT akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir hati sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir yang berserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang selain Allah. Dan itu semuanya tidaklah sukar bagi Allah.” (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, hikmah ke-47, 1/25-36)
Ujarnya mafhum daripada hikmah di atas adalah, dalam apa jua keadaan sekalipun, zikir hendaklah dilazimi.
Ini kerana arahan zahir menyuruh zikir dan dengan izin Allah asbab zikir boleh membawa kepada ingatan dan akhlak yang mulia terlahir daripada seseorang. Allah menyuruh kita agar zikir kepada-Nya dengan sebanyak-banyaknya.
Contohnya, seseorang yang berzikir kalimah tayyibah ‘لا إله إلا الله’ sebanyak 100 kali. Jika hatinya mula dengan lalai, mungkin sahaja pada kali ke-89, Allah campakkan kesedaran dan hadir hati.
Lebih baik dari tak berzikir langsung
Ini lebih baik daripada tidak berzikir langsung. Asalnya, seseorang yang berzikir itu tetap beroleh pahala walaupun tidak mengetahui maknanya, tetapi adalah lebih baik dan meninggalkan kesan pada hati, jika kita dapat mengkaji makna dan menghayatinya.
Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW selalu berzikir (mengingati) Allah pada setiap waktunya.” Riwayat Muslim (373)
Hadis ini adalah bagi menunjukkan prinsip asas iaitu zikir kepada Allah dalam segala keadaan. Meskipun dalam keadaan berhadas atau berjunub.
Zikir boleh dilakukan dengan bertasbih (mengucapkan subhanallah), bertahlil (mengucapkan lailaha illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar), bertahmid (mengucapkan alhamdulillah) dan zikir lainnya yang dibolehkan dalam segala keadaan menurut kesepakatan umat Islam.
Yang diharamkan daripada zikir adalah membaca al-Quran iaitu membaca satu ayat dan selebihnya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ketika bersujud, umat Islam meletakkan kepala mereka ke bumi dan dalam keadaan begini, jantung berada di kedudukan lebih tinggi daripada kepala. Ia memudahkan darah turun ke otak dibantu oleh tekanan graviti.
Peter Russell dalam bukunya, ‘The Brain Book’ berpendapat, “Otak manusia beroperasi tujuh peratus lebih cepat dan empat belas peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka ke bawah atau inverted.
Merujuk artikel ‘Chronic Pain: Exercise can bring relief’ di laman web mayoclinic.com, pakar-pakar berhujah bahawa senaman secara berterusan adalah penting untuk kesihatan sendi.
Senaman juga mampu mengurangkan sakit dan merangsang pengeluaran hormon endorfin yang berfungsi mengurangkan rasa sakit.
Solat sememangnya bermanfaat kerana ia menggerakkan sendi-sendi badan termasuk tangan dan kaki secara sederhana.
Pada tahun 1967, Professor Dr. Herbert Benson daripada Fakulti Perubatan Harvard membuat kajian ke atas tiga puluh enam orang yang bermeditasi.
Dapatan kajian menunjukkan mereka menggunakan oksigen tujuh belas peratus lebih rendah daripada biasa, jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih perlahan daripada kelaziman dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelas.
Gelombang theta adalah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena.
Kajian yang melibatkan sembilan puluh orang pesakit kanser yang telah melakukan meditasi selama tujuh minggu ini, menemukan para pesakit didapati kurang masalah kesugulan, keresahan dan kemarahan.
Mereka lebih bertenaga, sakit jantung menurun serta masalah pada sistem penghadaman berkurangan. Kajian ini telah diterbitkan dalam majalah Psychosomatic Medicine pada tahun 2000.
Solat serta zikir yang kusyuk boleh diibaratkan seperti bermeditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya di sini tampak unsur-unsur meditasi cuma di dalam Islam ia dilakukan sebagai satu ibadah.
Bagaimana pula halnya kaitan manfaat solat pada ibu hamil?
Pakar ‘Fetal Positioning’ & Bidan Profesional mengiktiraf kedudukan Forward Leaning Inversion (FLI) iaitu bersujud adalah bagus diamalkan ibu mengandung. Antara sebabnya:
- Objektif kekerapan FLI setiap hari untuk membebaskan urat tersimpul, ketat dan memaksimumkan kapasiti janin di dalam rahim. Ia turut memberi ruang untuk bayi memasukkan kepalanya dalam rongga saluran pelahiran bila sudah tiba masanya bayi dilahirkan.
- Teknik solusi untuk bayi songsang, lebih efektif dilakukan awal sebelum bayi melebihi tiga puluh enam minggu ke atas. Namun, jangan putus asa, masih ada ruang dan peluang kedudukan janin songsang berubah.
- Kedudukan ini juga telah memperlihatkan kesan dramatik untuk janin berkedudukan melintang dalam rahim berubah.
Jadi, kenapa tidak memperbanyakkan sahaja solat dan sujud lebih lama dengan bacaan sunat dan doa meminta pada Yang Maha Mengetahui?
Posisi rukuk pada sudut sembilan puluh darjah dapat mengurangkan sakit belakang dan boleh digunakan sebagai terapi untuk menurunkan dan memulihkan sakit pinggang. Bukankah ibu-ibu hamil mudah dapat sakit pinggang? Jadi ini antara cara merawat sakit pinggang tersebut.
Pelupa sinonim dengan ibu hamil gara-gara peningkatan hormon progesteron. Menurut beberapa kajian, otak didapati mengeluarkan gelombang alpha yang agak jelas ketika sujud dan jalur frekuensi gelombang gamma selepas solat adalah lebih tinggi berbanding sebelum solat.
Fenomena ini bermaksud penumpuan dan daya ingatan meningkat ke atas mereka yang bersolat dengan penuh kusyuk.
Gementar untuk mengharungi proses bersalin adalah isu lazim bagi mana-mana ibu yang bakal melahirkan. Antara saranan ialah mengaktifkan hormon gembira endorfin bagi menurunkan aras cemas dan gelisah ini.
Telah dinyatakan senaman ringan yang terbit daripada pergerakan kaki dan tangan semasa ibadah solat mampu merembeskan hormon yang membantu ibu menjelang proses melahirkan.
Kekhusyukan dalam solat yang sinonim dengan unsur meditasi telah terbukti mampu memperbaiki emosi yang kurang stabil. Ibu-ibu yang hamil akan melalui fasa emosi tidak menentu dek penangan hormon-hormon yang bekerja keras. Bersolatlah bagi meredakan perasaan yang membelenggu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam fiqh Islam terdapat satu bab yang dinamakan ( نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ ) iaitu hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan dalam atau cermin.
Dalam bab ini Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan (mithal).
Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Nihayatul Muhtaj, 6/187. Juga disebut oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anatu at-Thalibin, 3/301. Rujuk juga Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, 40/353-354 )
Dalam hal ini, gambar samada yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka hukum melihat kepada gambar yang tidak menutup aurat adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat. Maka memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial atau dalam bentuk cetakan adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah.
Ini turut disokong oleh qa’idah fiqhiyyah iaitu:
إِذا ضَاقَ الْأَمر اتَّسَع
Maksudnya: Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.
الْحَاجة تنزل منزلَة الضَّرُورَة
Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.
Dalam hal ini, mengharamkan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat serta melihatnya secara mutlak akan menyebabkan kesusahan dan kesempitan apabila ada keperluan seperti wartawan yang ingin melaporkan lawatan pemimpin wanita non-Muslim ke Malaysia, laporan program keilmuan yang melibatkan wanita tidak bertudung dan sebagainya.
Dalam hal-hal tertentu, terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti yang disebutkan di atas, maka keperluan tersebut perlu diraikan sekadar yang diperlukan.
Hukum asal memuat naik gambar sendiri yang mendedahkan aurat untuk tatapan umum di media sosial adalah HARAM kerana ia akan menyebabkan auratnya turut dilihat oleh bukan mahramnya. Walau bagaimanapun hukum seseorang memuat naik gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau wanita non-Muslim adalah HARUS jika atas keperluan tertentu yang bukan bertujuan ingin mendedahkan auratnya. Termasuk dalam keharusan ini bagi para wartawan akhbar yang melaporkan berita namun termasuk di dalamnya gambar-gambar yang tidak menutup aurat.
Contoh keperluan yang perlu diraikan ialah memuat naik gambar-gambar rasmi melibatkan urusan kerajaan, syarikat perniagaan atau gambar kenang-kenangan sewaktu program keilmuan. Disyaratkan juga gambar itu masih lagi bersifat sopan dan menepati neraca ketatasusilaan, tidak terlalu mendedahkan dan menghairahkan. Malah adalah lebih baik jika bahagian- bahagian tersebut dikaburkan bagi mengelakkan ia dilihat.
Selain itu sikap warak dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhangambar yang dimuatnaik tersebut mampu menimbulkan fitnah, maka ia diharamkan berdasarkan kaedah Sadd Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Imam Ghazali pernah memberi nasihat kepada kaum lelaki agar tidak menikahi 6 jenis perempuan. Siapakah mereka ini sehingga lelaki perlu menjauhi diri dari wanita bersifat sedemian?
Berikut adalah penjelasannya, semoga sifat ini tiada dalam diri kita atau ahli keluarga perempuan kita.
Al Annanah (suka mengeluh)
Al Annanah adalah sifat seorang wanita yang terlalu suka mengeluh dan mengadu masalah yang dihadapi kepada sesiapa sahaja atau secara berlebihan.Contoh yang dapat kita lihat buat masa ini adalah meluahkan masalah rumah tangga di media sosial.
Bagi lelaki yang mengahwini wanita yang bersifat suka mengeluh adalah sukar untuk mencapai kebahagian kerana wanita tersebut hanya akan mengeluh tanpa membincangkan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi Di samping itu si lelaki juga akan mengalami tekanan perasaan. Selain itu ia juga boleh merosakkan hubungan bersama keluarga mertua atau sahabat.
2. Al Mananah (mengungkit)
Al Mananah adalah wanita yang suka mengungkit-ungkit kebaikan atau jasa yang telah mereka lakukan. Wanita yang mempunyai sifat seperti ini biasanya akan mendatangkan masalah kepada si lelaki kerana biasanya jika mereka berbeza pendapat wanita tersebut akan mula mengungkit kebaikan dan jasa yang pernah dibuat dan ini akan lebih memberi impak yang negatif lebih-lebih lagi jika si suami mempunyai pendapatan yang lebih rendah daripada si isteri
3. Al Hananah (suka cerita kelebihan orang lain)
Al Hananah adalah wanita yang suka menceritakan kelebihan orang lain di hadapan suami. Sebagai contoh jika wanita itu seorang janda maka dia akan menceritakan kelebihan bekas suaminya.
Dan jika si wanita masih belum pernah berkahwin mungkin dia akan membandingkan atau menceritakan kelebihan ayahnya atau saudaranya. Namun yang paling teruk adalah jika si wanita pernah mempunyai teman lelaki dan si wanita membandingkan bekas teman lelaki dengan suaminya yang mana akan dapat merosakkan hubungan perkahwinan
4. Al Haddaqah (boros)
Al Haddaqah adalah wanita yang boros dan mempunyai keinginan untuk berbelanja besar tanpa memikirkan kehendak atau keperluan. Biasanya wanita jenis ini mudah tertarik kepada sesuatu barang atau produk dan suka meminta ataupun memaksa si lelaki/suami untuk membelikannya.
Jika jenis wanita sebelum ini mereka lebih kepada merosakkan emosi namun wanita jenis ini lebih kepada merosakkan kewangan si lelaki. Walaupun si wanita mempunyai suami yang kaya raya namun seharusnya sifat boros dielakkan kerana bertentangan dengan agama dan perkara ini akan menjadi lebih teruk jika si lelaki/suami seorang yang miskin atau hanya cukup-cukup makan. Disebabkan itulah ramai lelaki atau suami terjerumus kepada jalan haram kerana ingin memenuhi kehendak si isteri yang berlebih – lebihan.
5. Al Barraqah (berhias berlebihan)
Jenis wanita ini adalah yang suka berhias berlebih-lebihan sepanjang hari. Mereka ini biasanya akan berhias berlebih-lebihan sehinga menelan belanja yang tinggi .Perkara ini adalah lebih teruk jika si wanita berhias bukan untuk suaminya tetapi hanya untuk menunjukkan kecantikan di khalayak ramai
6. Asy Syaddaqah (banyak bicara)
Asy Syaddaqah adalah seorang wanita yang terlalu banyak berbicara. Hampir setiap perkara mahu dikomen atau ditegur dan teguran bukanlah untuk memperbaiki atau pun bermanfaat tetapi hanya sekadar menegur tanpa sebab.
Terdapat perkara yang boleh ditegur apatah lagi jika perkara itu salah namun bukan sepanjang masa menegur tanpa unsur periksa. Menikahi wanita jenis ini akan menyebabkan susah bagi pasangan tersebut untuk mendapat kebahagiaan kerana semestinya si suami akan sentiasa menjadi sasaran dan ditegur tentang pelbagai perkara hatta perkara yang remeh temeh sekalipun.
Sumber: Baitul Muslim
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI