Kerohanian

Zikir Tapi Hati Lalai Dan Tidak Khusyuk, Adakah Pahala

Share
Zikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah SWT yang boleh dilakukan sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati.
Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan al-Quran dan seumpamanya.
Ibadah ini pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Quran banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT.
Namun sebagai manusia yang lemah ada kala ketika berzikir pun kita terlalai. Teringat hal dunia hingga lupa bacaan dan sebagainya.

Zikir tapi hati lalai, adakah beroleh pahala

Dalam hal ini apakah status zikir mereka yang melakukannya dalam keadaan ini. Adakah diterima dan beroleh pahala atau sebaliknya?
Menjelaskan akan perkara ini, menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, berzikir dalam keadaan lalai lebih baik daripada tidak berzikir langsung.
Dalam penjelasan, beliau memetik kata-kata Syeikh Ibn Ataillah al-Iskandari Rahimahullah
لا تَتْرُكِ الذِّكْرَ لِعَدَمِ حُضورِكَ مَعَ اللهِ فيهِ، لِأَنَّ غَفْلَتَكَ عَنْ وُجودِ ذِكْرهِ أَشَدُّ مِنْ غَفْلتِكَ في وُجودِ ذِكْرِهِ. فَعَسَى أَنْ يَرْفَعَكَ مِنْ ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ غَفْلةٍ إلى ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ غَيْبَةٍ عَمّا سِوَى المَذْكورِ، {وَمَا ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ بِعَزِيزٍ}
Maksudnya: “Jangan kamu meninggalkan zikir, (menyebut atau mengingat Allah) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berat atau berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir.
Mudah-mudahan Allah SWT akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir hati sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir  yang berserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang selain Allah. Dan itu semuanya tidaklah sukar bagi Allah.” (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, hikmah ke-47, 1/25-36)
Ujarnya mafhum daripada hikmah di atas adalah, dalam apa jua keadaan sekalipun, zikir hendaklah dilazimi.
Ini kerana arahan zahir menyuruh zikir dan dengan izin Allah asbab zikir boleh membawa kepada ingatan dan akhlak yang mulia terlahir daripada seseorang. Allah menyuruh kita agar zikir kepada-Nya dengan sebanyak-banyaknya.
Contohnya, seseorang yang berzikir kalimah tayyibah ‘لا إله إلا الله’  sebanyak 100 kali. Jika hatinya mula dengan lalai, mungkin sahaja pada kali ke-89, Allah campakkan kesedaran dan hadir hati.

Lebih baik dari tak berzikir langsung

Ini lebih baik daripada tidak berzikir langsung. Asalnya, seseorang yang berzikir itu tetap beroleh pahala walaupun tidak mengetahui maknanya, tetapi adalah lebih baik dan meninggalkan kesan pada hati, jika kita dapat mengkaji makna dan menghayatinya.
Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW selalu berzikir (mengingati) Allah pada setiap waktunya.” Riwayat Muslim (373)
Hadis ini adalah bagi menunjukkan prinsip asas iaitu zikir kepada Allah dalam segala keadaan. Meskipun dalam keadaan berhadas atau berjunub.
Zikir boleh dilakukan dengan bertasbih (mengucapkan subhanallah), bertahlil (mengucapkan lailaha illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar), bertahmid (mengucapkan alhamdulillah) dan zikir lainnya yang dibolehkan dalam segala keadaan menurut kesepakatan umat Islam.
Yang diharamkan daripada zikir adalah membaca al-Quran iaitu membaca satu ayat dan selebihnya.
Published by
Team Kashoorga